NARATHIWAT (THAILAND): Dialog damai antara kerajaan Thailand dan wakil kumpulan pemisah, Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN), yang dijadual berlangsung dalam masa terdekat turut membincangkan insiden letupan bom di Daerah Tak Bai, Isnin lalu, yang mengakibatkan dua rakyat Malaysia cedera.
Sumber keselamatan mendedahkan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dijangka mengadakan pertemuan dengan wakil kumpulan pemisah Selatan Thai di Kuala Lumpur bagi mencari penyelesaian lebih konkrit terhadap konflik yang berlarutan di wilayah selatan negara itu.
“Anutin akan mempengerusikan pertemuan dengan wakil kumpulan pemisah di Kuala Lumpur pada 9 Julai sebelum beliau dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Pusat Pemeriksaan Kastam dan Imigresen baharu di Sadao,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sumber memberitahu, pertemuan itu merupakan susulan kepada proses Dialog Damai Selatan Thai melibatkan Panel Dialog Damai Kerajaan Diraja Thailand (PEDP/RTG) yang diketuai Thanat bersama wakil BRN.
Katanya, insiden pengeboman di Tak Bai yang mencederakan dua rakyat Malaysia Isnin lalu, selain beberapa lagi kejadian keganasan sejak kebelakangan ini, dijangka menjadi antara agenda utama perbincangan.
“Laporan lengkap mengenai insiden keganasan di tiga wilayah Selatan Thai yang kebanyakannya dikaitkan dengan kaedah digunakan kumpulan pemisah turut akan dibentangkan dalam dialog tersebut,” ujarnya.
Mengulas sama ada perbincangan awal telah diadakan dengan Malaysia berhubung dialog damai itu, sumber yang menganggotai pasukan khas pengaman Selatan Thai berkata, Malaysia ketika ini memberi tumpuan kepada kawalan di pintu sempadan dengan memperketat pemantauan terhadap pergerakan keluar masuk individu.
“Ini mencerminkan penekanan Malaysia yang semakin meningkat terhadap keselamatan sempadan, sesuatu yang Thailand mahu Malaysia utamakan sejak sekian lama. Perdana Menteri akan melawat Malaysia pada 9 dan 10 Julai untuk membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut,” katanya.
Mengulas peningkatan ancaman keselamatan termasuk serangan terhadap pasukan keselamatan dan insiden pengeboman sejak kebelakangan ini, sumber berkata, tindakan itu dilihat sebagai usaha kumpulan pemisah untuk mengukuhkan tuntutan tertentu menjelang dialog damai.
“Bahagian perisikan melihat bahawa sebelum rundingan bermula tidak lama lagi, kemungkinan besar akan berlaku insiden keganasan. Dalam mana-mana proses di seluruh dunia, tuntutan hak akan melibatkan demonstrasi kuasa,” katanya. – UTUSAN










