KUALA KANGSAR: Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) menawarkan Program Atlet Bergraduat kepada para atlet di bawah Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak.
Naib Canselor USAS, Tan Sri Dr. Nordin Kardi berkata, USAS akan bekerjasama dengan MSN Perak dalam menjayakan usaha berkenaan dengan menawarkan Diploma Pentadbiran Perniagaan kepada atlet yang berminat.
Menurutnya, USAS menawarkan pengecualian yuran pengajian sebanyak 30 peratus kepada atlet yang mengikuti program tersebut.
“Antara kelebihan menyertai program ini ialah USAS menawarkan pengecualian yuran sebanyak 30 peratus sekiranya 20 orang atlet menerima tawaran ini.
“Selain itu, kelas bagi atlet ini juga diadakan pada waktu malam tanpa mengganggu latihan pada waktu pagi dan petang,” katanya ketika berucap dalam Majlis Menandatangani Nota Persefahaman (NOU) antara USAS dan MSN Perak secara maya hari ini.
Majlis NOU ditandatangani antara Nordin serta Pengarah MSN Perak, Johari Sham Ahmad Affendi yang disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed.
Nordin berkata, pihaknya berharap NOU antara USAS dan MSN Perak itu memberi
harapan kepada atlet apabila mereka berhenti atau bersara daripada dunia sukan.
“Sekurang-kurangnya apabila mereka berhenti daripada sukan, mereka memiliki segulung diploma untuk meneruskan kehidupan.
“Dalam usaha lain USAS juga menawarkan biasiswa kepada pelajar yang memperoleh 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.75 ke atas bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan diploma,” katanya.
Sementara itu, Khairul Shahril mengucapkan terima kasih atas usaha USAS melalui program berkenaan dalam membantu MSN Perak mencari bakat baharu.
“Terima kasih kerana membantu MSN Perak dalam mencari bakat baharu sukan dalam kalangan pelajar USAS dan mengenal pasti kakitangan USAS yang berpotensi untuk dijadikan pegawai teknikal yang berkelayakan.
“Selain itu, program ini juga menjadikan USAS sebagai pusat latihan bagi atlet negeri Perak mengikut sukan tertentu dan membantu MSN Perak untuk melahirkan ramai graduan dalam kalangan atlet,” katanya. – UTUSAN ONLINE










