Urus jenazah Covid-19 secara percuma - Utusan Malaysia

Urus jenazah Covid-19 secara percuma

TENGKU Harith Tengku Aziz (tiga dari kiri) bersama van jenazah dan ahli THTV di Kampung Wakaf Raja, Pasir Puteh, Kelantan, semalam. - UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Badan Amal Tengku Harith Team Ventures (THTV) menawarkan perkhidmatan mengurus jenazah pesakit Covid-19 di seluruh negeri ini dan Besut, Terengganu secara percuma bagi meringankan beban ditanggung waris si mati.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengasas THTV, Tengku Harith Tengku Aziz berkata, perkhidmatan yang ditawarkan pertubuhan kebajikan itu merangkumi proses tayamum, kafan serta solat jenazah yang akan dibuat di hospital.

Katanya, turut disediakan secara percuma ialah perkhidmatan van jenazah dari hospital hingga ke lokasi tanah perkuburan.

“Inisiatif THTV ini bertujuan meringankan bebanan keluarga atau waris mangsa Covid-19 yang kurang mampu atau ada masalah kewangan. Mereka berhak menolak cadangan pihak hospital untuk mendapatkan perkhidmatan berbayar.

“Ini kerana ada pihak yang tergamak mengenakan bayaran mencecah RM1,900, tidak termasuk kos lain seperti pengangkutan dan pengebumian,” katanya ketika ditemui di pejabat THTV di Kampung Wakaf Raja, di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, waris pesakit Covid-19 yang meninggal dunia dibebani kos pengurusan jenazah mencecah RM1,900 hingga mendapat teguran kerajaan serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

Mengulas lanjut, Tengku Harith berkata, kos tinggi itu berlaku gara-gara ada pengurus mayat mengenakan upah mahal dengan alasan mereka berdepan risiko dijangkiti virus Covid-19, biarpun modal sebenar dikeluarkan tidak sampai RM500.

“THTV ambil keputusan untuk berjihad dengan cara mengetepikan sebarang bayaran supaya kita dapat sama-sama menyempurnakan fardu kifayah itu.

“Hubungi kami 016-4215453 sekiranya memerlukan bantuan atau tidak mampu membayar caj perkhidmatan yang ditawarkan pihak pengurusan mayat di mana-mana hospital di negeri ini dan Besut,” ujarnya,

Tengku Harith turut memberi jaminan, para sukarelawan yang terbabit dalam menjalankan perkhidmatan itu merupakan golongan terlatih dalam hal-hal pengurusan jenazah.

Selain itu katanya, sebanyak 15 van jenazah hasil gabungan THTV setakat ini sudah bersiap siaga untuk digerakkan pada bila-bila masa di mana-mana lokasi. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN