Malaysia mahu Malbatt keluar segera dari Lubnan

Malaysia mahu Malbatt keluar segera dari Lubnan

MOHAMAD Hasan ketika ditemui pemberita di Rantau, Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Malaysia akan menghantar memorandum kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menggesa badan dunia itu supaya tentera pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNIFIL) termasuk melibatkan pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850-13 keluar dari Lubnan dalam kadar segera.

Ia susulan serangan berterusan tentera Israel terhadap di Lubnan termasuk sehingga mengorbankan anggota pasukan UNIFIL

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, wakil tetap Malaysia di PBB juga telah diarahkan agar mengadakan perbincangan dengan negara terlibat sebelum menyerahkan memorandum tersebut kepada Setiausaha Agung PBB.

Menurutnya, langkah itu penting memandangkan keadaan di Lubnan kini tidak lagi selari dengan tujuan asal misi pengaman apabila konflik bersenjata semakin serius.

“Kita mahu PBB menyemak semula tempoh misi ini kerana keadaan di sana sudah tidak lagi selamat serta tidak lagi berasaskan kepada misi pengaman.

“Kita tidak mahu anggota pasukan pengaman PBB ini tercedera bahkan terbunuh. Kita ucapkan takziah kepada kerajaan Indonesia kerana anggota misi pengaman mereka terbunuh semasa menjalankan misi di Lubnan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mohamad juga telah meminta supaya anggota Malbatt menghentikan rondaan bagi mengelakkan sebarang kemungkinan kejadian tidak diingini.

“Saya telah meminta Menteri Pertahanan agar anggota kita tidak perlu membuat rondaan lagi dan kekal berada di dalam ‘bunker’ supaya tidak terdedah kepada sebarang risiko,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rembau itu berkata, enam buah kapal Malaysia dijangka dibenarkan melalui Selat Hormuz selepas tempoh gencatan senjata selama dua minggu antara Iran dan Amerika Syarikat selesai.

Katanya, setakat ini sebuah kapal tangki yang membawa bekalan minyak mentah telah berjaya keluar dari kawasan berkenaan.

“Satu telah selamat keluar daripada selat tersebut dan sudah berada di perairan antarabangsa. Ia sedang dalam perjalanan menuju ke kilang penapisan minyak di Pengerang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN