Urus ibu sakit, jaga abang OKU, belajar secara dalam talian serentak - Utusan Malaysia

Urus ibu sakit, jaga abang OKU, belajar secara dalam talian serentak

NIK Noradila menguruskan ibunya yang menghidap penyakit saraf sejak lima bulan lalu di Kampung Salak, Tanah Merah. - UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Usianya baru 19 tahun, namun, Nik Noradila Mohd. Wira sudah menggalas tugas menyara keluarga, menguruskan ibu yang terlantar sakit saraf serta menjaga abangnya seorang pemuda lembam sejak Mei lalu.

Dalam masa sama, penuntut jurusan Diploma Pengurusan Tanah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sri Iskandar Perak itu masih perlu menumpukan perhatian terhadap pengajian yang kini dibuat secara dalam talian.

 

 

Kata Nik Noradila, ibunya, Fahshakinah Syed Lazim Shah, 43, membesarkan dia dan abang Nik Muhammad Khoidir, 21, seorang diri di Kampung Salak, di sini selepas bercerai dengan bapanya kira-kira 15 tahun lalu.

“Keadaan kesihatan ibu semakin merosot selepas dia mengadu sakit dada dan batuk yang kuat dan mengikut kata doktor paru-parunya mengecut menyebabkan oksigen dalam badannya makin berkurang.

“Pada mulanya ibu dirawat di Hospital Tanah Merah namun selepas penyakitnya semakin kronik, dia dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) pada 27 Mei lalu untuk rawatan susulan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Selepas dibenarkan keluar dari hospital, keadaan Fahshakinah tidak berubah malah semakin lemah dan terlantar tidak berdaya, termasuk hanya mampu minum susu formula menggunakan tiub khas sebanyak lima kali sehari.

“Selain memastikan ibu minum susu, rutin saya juga menguruskan keperluan ibu seperti memakaikan lampin pakai buang dan membersihkan badannya, namun saya tidak kisah kerana itulah tanggungjawab saya sebagai anak,” katanya.

Kata Nik Noradila, buat masa ini, dia belum pernah menghadiri kelas secara bersemuka di kampus UiTM Sri Iskandar sejak bergelar pelajar universiti tersebut dan hanya perlu mengikuti kelas secara dalam talian akibat Covid-19 masih belum reda.

“Mungkin ada hikmah di sebalik pandemik ini, kerana saya masih ada masa untuk menjaga ibu dan abang di kampung. Saya khuatir siapa akan jaga mereka jika saya mula belajar di universiti nanti,” katanya.

Selain menerima wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan untuk ibu dan RM150 sebulan untuk abang, gadis itu kini berniaga barangan kesihatan secara online dengan pendapatan RM500 sebulan bagi menyara keluarga.

“Beban saya menanggung keluarga sedikit ringan apabila saudara-mara dan jiran tetangga sentiasa prihatin dan tidak lokek menghulurkan bantuan,” katanya.

Orang ramai ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada akaun Bank Islam, Nik Noradila Mohd Wira 03-054-02-082396-2 atau menghubunginya sendiri di talian 011-17982472. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN