UPSI bersedia terima kemasukan semula pelajar - Utusan Malaysia

UPSI bersedia terima kemasukan semula pelajar

MD. AMIN MD. TAFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan memastikan pengurusan menerima kemasukan pelajar ke kampus sama ada tempatan atau antarabangsa bermula 15 Oktober depan, berjalan lancar seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). 

 

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, UPSI sudah membuat persiapan untuk menerima pelajar ke kampus terutamanya Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) yang menempatkan kolej-kolej kediaman iaitu Kolej Za’ba, Kolej Harun Aminurrashid, Kolej Aminuddin Baki, Kolej Ungku Omar dan Kolej Awang Had Salleh.

 

Beliau memberitahu, UPSI mempunyai dua kampus iaitu Kampus Sultan Abdul Jalil Shah yang terletak di Tanjung Malim manakala KSAS di Proton City.

 

“Warga kampus mengalu-alukan kepulangan pelajar, walaupun tidak semua, namun, suasana kampus pasti sedikit berubah walaupun perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP)  yang ketat seperti yang ditetapkan oleh KPT, “ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dalam sidang akhbar hari ini mengumumkan kemasukan pelajar ke kampus  institusi pendidikan tinggi (IPT) secara berperingkat bagi yang lengkap divaksin serta membabitkan mereka yang berkeperluan. 

 

Menurut Md. Amin, UPSI akan sentiasa mematuhi dan mengikut arahan KPT, Majlis Keselamatan Negara (MSN) serta Kementerian Kesihatan (KKM) dari semasa ke semasa demi kesejahteraan warga kampus. 

 

Jelas beliau, UPSI akan memantau pelaksanaan ‘SOP Sektor Pendidikan Tinggi: Pengoperasian IPT’ yang menyaksikan keberadaan warga IPT yang lengkap divaksin bagi membentuk komuniti sosial yang selamat serta mewujudkan persekitaran Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam kampus.

 

Md. Amin berharap ibu bapa tidak perlu risau dengan keadaan anak-anak mereka di kampus kerana Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Bahagian Pengurusan Risiko dan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (ROSH), serta Bahagian Keselamatan UPSI akan memantau pergerakan dan keselamatan mahasiswa.

 

“Proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) akan dilaksanakan secara hibrid dengan pematuhan SOP seperti yang diluluskan oleh MKN, manakala kursus atau program yang dijalankan secara dalam talian, pelajar boleh memilih untuk meneruskan PdP dari  lokaliti masing-masing. 

 

“Walau bagaimanapun pertemuan bersemuka antara mahasiswa dengan pensyarah atau sesama mahasiswa pastinya tidak seperti dahulu kerana dibatasi oleh SOP yang ketat bagi mengelakkan sebarang jangkitan Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN