Tukang cuci kredit judi dalam talian kena cekup - Utusan Malaysia

Tukang cuci kredit judi dalam talian kena cekup

AYOB Khan Mydin Pitchay (tengah) melihat peralatan yang dirampas daripada sindiket perjudian dalam talian yang beroperasi di Kota Persiaran Southkey pada sidang akhbar di IPK Johor di Johor Bahru. -UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tujuh suspek operator tambah nilai kredit dan cuci kredit bagi permainan judi dalam talian ditahan setelah polis menumpaskan kegiatan sebuah sindiket di Kota Persiaran Southkey, di sini, baru-baru ini.

 

Malah, enam suspek lelaki dan seorang wanita yang berusia antara 18 hingga 34 tahun itu juga bertanggungjawab selaku ‘pegawai khidmat pelanggan’ untuk berinteraksi dengan pemain-pemain judi.

 

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sindiket perjudian terbabit dipercayai mempunyai pelanggan yang dianggarkan seramai 7,000 orang terdiri daripada rakyat tempatan dengan nilai transaksi harian antara RM15,000 hingga RM20,000.

 

Katanya, serbuan pada Khamis lalu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama Bahagian Siasatan Cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

 

“Berdasarkan siasatan, kesemua suspek yang juga warga tempatan mengaku menerima bayaran gaji sebanyak RM2,000 sebulan dan komisen satu peratus.

 

“Sindiket tersebut mempromosikan kegiatan perniagaan mereka melalui dua laman sesawang iaitu www.topup99.com dan www.lagiong.com,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor di sini, hari ini.

 

Dalam serbuan itu, polis turut merampas enam set komputer, 35 telefon bimbit, dua modem wifi dan serangkai kunci rumah.

 

Ayob Khan berkata, kesemua suspek yang ditahan telah direman selama satu hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4(1)(G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

 

“Sejak 1 Ogos hingga 25 September lalu, Polis Johor telah membuat lima serbuan dan pemeriksaan menerusi Op Dadu iaitu tiga di kawasan Johor Bahru manakala dua lagi di Iskandar Puteri.

 

“Daripada serbuan tersebut, seramai 28 suspek telah ditahan melibatkan 20 lelaki dan lapan wanita warga tempatan,” katanya.

 

Tambah beliau, sebanyak lima kertas siasatan telah dibuka dan kini dalam proses untuk dilengkapkan sebelum dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor untuk pertuduhan di mahkamah. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN