Tiga beradik menangis rindu bapa - Utusan Malaysia

Tiga beradik menangis rindu bapa

NAHRAFIZA Murhaban bersama Nadira Wandari, Agus Dermawan dan Rizal Basri menunjukkan gambar arwah Ridwan Poniman di rumahnya di Guar Chempedak, Yan hari ini. - UTUSAN/NUR ANATI JUHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Tiga beradik yang kematian bapa mereka dalam kejadian kepala air di Gunung Jerai di sini pada 18 Ogos lalu sering menangis kerana terlalu merindui insan tersayang itu.

Ibu mereka, Nahrafiza Murhaban, 46, berkata, tiga anaknya u masih sedih dengan kematian bapa mereka, Ridwan Poniman, 61, yang cukup rapat selama ini.

Katanya, ketiga-tiga anaknya, Rizal Basri, 6, Agus Dermawan, 10, dan Nadirah Wandari, 14, tidak dapat menahan rindu terhadap ayah mereka yang selama ini menjadi tempat bermanja.

“Tiga beradik itu sangat sayang dan rapat dengan arwah ayah mereka, malah Rizal Basri pula setiap hari akan menunggu ayahnya pulang kerja di pintu rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Guar Chempedak di sini hari ini.

Ridwan yang bekerja sebagai buruh merupakan mangsa terakhir ditemukan mati tersangkut di bawah timbulan kayu di belakang sebuah chalet di Titi Hayun selepas enam hari tragedi tersebut.

Dalam tragedi kepala air itu seramai enam mangsa terkorban selepas dihanyutkan arus deras dan ditimpa tanah runtuh.

Fenomena itu berlaku selepas hujan lebat luar biasa di puncak Gunung Jerai yang mempunyai ketinggian 1,217 meter.

Nahrafiza memberitahu, pada masa ini, dia terpaksa bergantung sepenuhnya dengan hasil jualan kuih-muih yang diusahakan sejak tahun 2018 untuk menyara keluarga.

Katanya, kuih-muih itu dihantar kepada jirannya yang berniaga di sini dengan pendapatanya antara RM30 hingga RM50 sehari.

Tambahnya, hasil pendapatan itu digunakan untuk pembelanjaan keluarga dan membayar rumah sewa sebanyak RM200 sebulan.

“Kini saya mula belajar menguruskan tiga anak-anak saya sendiri serta berusaha lebih untuk menampung segala perbelanjaan harian.

“Dulu arwah suami saya gigih bekerja menyara keluarga. Dia pernah bekerja di Pulau Pinang, Langkawi dan seminggu sebelum kejadian dia baru sahaja memulakan kerja di kebun di Titi Hayun,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin membantu Nahrafiza boleh menghubunginya di talian 014-2993752. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN