LANGKAWI: Polis tidak mengeluarkan sebarang kompaun melanggarkan prosedur operasi standard (SOP) kepada pelancong pada hari pertama pelancaran projek rintis gelembung di Langkawi hari ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pelancong didapati mematuhi setiap SOP yang ditetapkan ketika berada di pulau peranginan ini.
Menurutnya, setakat ini, seramai 60 orang anggota ditugaskan secara bergilir-gilir di kawasan tumpuan pelancong.
“Bagaimanapun, jumlah anggota polis yang bertugas itu akan ditambah secara berperingkat sehingga mencapai seramai 150 anggota.
“Langkah itu diambil bagi memastikan pelancong sentiasa mematuhi SOP sepanjang berada di Langkawi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pemantauan pematuhan SOP di Pantai Chenang di sini petang ini.
Semalam, Pengerusi Task Force Gelembung Pelancongan Langkawi, Saiful Anwar Azmi berkata, sebanyak tiga zon ‘hotspot’ atau lokasi tumpuan pelancong yang dikenal pasti untuk dilakukan pemantauan dalam memastikan pematuhan SOP dalam kalangan pelancong.
Menurutnya, tiga zon tersebut melibatkan zon satu sekitar kawasan Pekan Kuah hingga ke Ayer Hangat, zon dua membabitkan kawasan dari Ayer Hangat hingga ke Pantai Kok serta zon tiga dari Pantai Kok hingga ke Pantai Tengah.
Shariman menambah, semua pelancong dinasihatkan mematuhi SOP yang ditetapkan untuk mengelakkan penularan Covid-19 di pulau ini.
“Kerjasama setiap pelancong penting dalam memastikan projek rintis gelembung di Langkawi yang bermula hari ini mencapai kejayaan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










