PUTRAJAYA : Kerajaan masih berpegang dengan pendirian untuk tidak membenarkan kemasukan pekerja asing sehingga hujung tahun ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, keputusan ini termasuklah pembantu rumah asing daripada negara-negara sumber sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)mulai 18 Mac 2020 susulan pandemik Covid-19.
“Sebarang keputusan untuk membawa masuk pekerja asing termasuklah pembantu rumah akan diumumkan kerajaan secara rasmi selepas perbincangan antara pihaknya dengan Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan dan kementerian lain yang berkaitan,” ujarnya menerusi kenyataan hari ini.
Saravanan berkata, umum mengetahui majoriti pembantu rumah asing di negara ini adalah dari Indonesia dan pihaknya ketika ini masih di peringkat rundingan bersama negara itu bagi memuktamadkan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai pengambilan Perkhidmatan Domestik Indonesia (PDI) yang tamat pada 30 Mei 2016.
“Sehingga Ogos lalu, terdapat seramai 92,481 pembantu rumah asing di negara ini dan daripada jumlah ini 64,181 adalah pengambilan PDI,” ujarnya.
Justeru, Kementerian menyeru dan menasihatkan agensi pekerjaan swasta yang berdaftar dan diberikan lesen oleh KSM untuk tidak membuat sebarang kenyataan atau pengiklanan yang mengelirukan majikan berhubung kemasukan pembantu rumah asing dari negara sumber.- UTUSAN ONLINE










