Tekong terjun laut elak dicekup - Utusan Malaysia

Tekong terjun laut elak dicekup

KESEMUA warga asing yang ditahan Pasukan Polis Marin di perairan Jeram, Selangor selepas, semalam selepas cuba lari untuk elak daripada dicekup.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Seorang tekong bot pom-pom bertindak nekad terjun ke laut bagi mengelak dicekup setelah membawa 34 pendatang asing tanpa izin (PATI) di sekitar perairan Jeram, dekat sini, semalam.

Kesemua warga Indonesia dan Myanmar yang menaiki bot tanpa dikemudi itu bagaimanapun diselamatkan selepas dikejar selama 15 minit.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Pulau Pinang, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, bot berkenaan dikesan pihaknya dalam keadaan mencurigakan di perairan Pulau Angsa pada pukul 2.45 pagi.

“Menerusi Op Benteng itu, dua bot peronda kemudian mengejar bot pom-pom tersebut dan berjaya memintasnya.

“Pemeriksaan mendapati bot itu bergerak tanpa dikemudikan tekong yang telah terjun ke laut bagi mengelak ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, operasi itu turut membawa kepada penahanan 32 warga Indonesia dan dua Myanmar bagi membantu siasatan.

“Kesemua masing-masing 17 lelaki dan 15 wanita berusia 18 hingga 51 Tahun dibawa ke Jeti PPM Selangor untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1985 atas kesalahan memasuki negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan,” katanya.

Tambah Shamsol, ujian saringan mendapati empat daripada warga asing itu positif Covid-19.

“Keputusan itu berdasarkan ujian yang dijalankan di Pusat Saringan Ambang Botanik, Bukit Tinggi.

“Seramai lapan anggota PPM terlibat turut terpaksa dikuarantin kerana menjadi kontak rapat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kesemua PATI berkenaan membayar wang sebanyak 3 juta rupiah (RM876) untuk urusan memasuki negara ini.

“Bot yang bergerak dari Tanjung Balai Asahan itu berada di laut selama tiga hari sebelum memasuki pesisir pantai Selangor dan menunggu arahan dari tekong darat lokasi pendaratan.

“Kesemua warga Indonesia itu pernah berkerja di Malaysia manakala warga Myanmar datang untuk menemui keluarga,” ujarnya.

Tambahnya, tekong bot itu gagal ditemukan kerana dipercayai telah mendarat berikutan jarak lokasi hampir dengan pantai yang cetek. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN