TAWAU: Cubaan seorang lelaki mengaburi mata pihak polis dengan menyembunyikan dadah dalam bungkusan plastik teh Cina yang dimasukkan dalam beberapa bagasi berjaya dikesan dalam satu operasi di kawasan Mambalua, Batu 10, pada Isnin lalu.
Dalam operasi pada pukul 7.30 malam itu, dadah jenis syabu seberat 303 kilogram yang bernilai kira-kira RM10.9 juta berjaya dirampas oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama Pasukan Polis Marin.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, semasa operasi dijalankan, suspek yang merupakan lelaki tempatan berbangsa Cina berusia 49 tahun ini bertindak melarikan diri dengan memecut kenderaan.
Semasa kenderaan suspek ditahan dan anggota memperkenalkan diri, suspek yang menaiki sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton bertindak memecut kenderaan bagi melarikan diri. Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan di kawasan Kampung Batu Payung.
“Pemeriksaan terhadap kenderaan tersebut mendapati terdapat lima bagasi di bahagian penumpang belakang serta tujuh beg bagasi di ‘bucket’ belakang.
“Apabila diperiksa, terdapat 290 bungkusan plastik hitam dan di dalamnya terdapat bungkusan teh Cina berwarna hijau bertulisan Guanyinwang yang mengandungi plastik lutsinar yang berisi ketulan hablur jernih, disyaki dadah jenis syabu dianggarkan 303 kilogram.
“Dadah ini dipercayai untuk diseludup ke negara jiran dan ia mampu memenuhi permintaan kira-kira 1.5 juta orang penagih dadah,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Idris berkata, polis turut menyita wang tunai bernilai RM27,000, kenderaan pacuan empat roda RM30,000 dan wang dalam akaun bank berjumlah RM95,284.57.
Barangan yang disita bernilai RM152,284.57 dan jumlah keseluruhan rampasan termasuk dadah adalah sebanyak RM11.06 juta.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori .
Jelas beliau, polis Sabah akan terus membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah dengan melakukan tindakan yang drastik termasuk menggempur sarang penagihan dadah.
Justeru, semua ketua polis daerah diarahkan untuk mengenal pasti kawasan panas atau tumpuan penagihan dadah di daerah masing-masing.- UTUSAN ONLINE