KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa untuk menangani isu ketidaksepadanan dalam sektor pekerjaan negara supaya tidak membantutkan usaha pemulihan ekonomi yang sedang berjalan.
Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, dengan pendekatan itu dapat memberikan ekuiti seimbang dengan pasaran kerja negara terutama untuk bersikap adil kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).
“Apabila mereka berebut mendapatkan pekerjaan melebih daripada kelayakan, contohnya pekerjaan yang dikhas untuk lepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) atau diploma juga direbut bersama lepasan ijazah, situasi ini menyebabkan golongan lepasan SPM dan diploma terpaksa bersaing dengan lepasan ijazah untuk mendapatkan pekerjaan.
“Impak pekerjaan di bawah kelayakan ini adalah besar memandangkan ia menyentuh kebolehpasaran golongan B40 yang berpendidikan sederhana dan rendah untuk mendapatkan pekerjaan.
“Justeru, Warisan berpendirian, isu pekerjaan di bawah kelayakan wajar diberi perhatian segera kerana pada tahun laliu, jumlah siswazah yang bersedia masuk ke pasaran kerja seramai 260,701 orang namun, jumlah pekerjaan mengikut kelayakan yang tersedia untuk siswazah pada tahun sama hanya 73,000 pekerjaan iaitu merosot 31,000 berbanding tahun sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Merujuk data dikeluarkan Jabatan Perangkaan pada Julai lalu, ahli Parlimen Semporna itu berkata, seramai 778,200 penduduk negara ini hilang pekerjaan atau kadar pengangguran meningkat 4.8 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Walhal katanya, kerajaan telah memperuntukkan RM530 bilion dalam lapan pakej rangsangan ekonomi namun kadar pengangguran terus meningkat tanpa penyelesaian yang jitu.
Tambah Shafie, pada tahun lalu, sebanyak 1.89 juta lepasan siswazah bekerja dalam sektor separa mahir dan tanpa kemahiran yang merangkumi 37.4 peratus jumlah pekerja yang berkelayakan ijazah.
Dalam pada itu, bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, kerajaan antara lain perlu mempergiat usaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi siswazah lepasan universiti.
Hal itu dengan mengutamakan ekonomi gig, keusahawanan dan perjawatan kontrak dengan agensi kerajaan dan syarikat berkepentingan bagi mereka yang mencari pekerjaan dan berdepan pandemik Covid-19.
“Kajian menunjukkan pekerjaan di bawah kelayakan ini membawa kepada kurang kemiskinan lebih besar sekali gus memberi kesan yang sama kepada kepada goilongan M40 berumur 45 hingga 60 tahun,” katanya. -UTUSAN ONLINE