Syabu bernilai RM3.87 juta dirampas di Pulau Pinang  - Utusan Malaysia

Syabu bernilai RM3.87 juta dirampas di Pulau Pinang 

MOHD. SHUHAILY Mohd. Zain (dua dari kanan) menunjukkan dadah jenis syabu bernilai RM3.87 juta yang cuba diseludup ke luar negara dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang merampas 107.5 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM3.87 juta yang dipercayai cuba diseludup ke luar negara dalam satu serbuan di jeti pendaratan ikan Sungai Acheh, daerah Barat Daya, di sini Isnin lalu. 

 

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, dalam serbuan antara pukul 2.30 hingga 5 petang itu, polis turut menahan enam suspek lelaki termasuk tiga warga asing yang disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah jenis syabu untuk pasaran luar negara itu. 

 

“Menerusi pemeriksaan di dalam sebuah bot di jeti tersebut, polis menemukan 100 bungkus dadah yang dibungkus dalam bungkusan teh Cina. 

 

“Kesemua dadah jenis syabu seberat 107.5 kg tersebut yang dianggarkan bernilai RM3.87 juta disyaki cuba dibawa ke negara jiran kerana pasaran syabu lebih mahal di sana,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini. 

 

Menurut beliau, hasil serbuan pertama di jeti itu, polis telah menangkap dua lelaki warga tempatan dan tiga lelaki warga asing yang disyaki ahli sindiket. 

 

“Susulan daripada tangkapan berkenaan, polis kemudiannya menyerbu sebuah rumah di Bukit Tambun, Jawi dekat sini dan menahan seorang lagi lelaki iaitu warga tempatan yang turut menjadi ahli sindiket tersebut,” katanya. 

 

Tambahnya, siasatan juga mendapati sindiket itu bergerak aktif sejak awal bulan ini dan dipercayai mendapatkan bekalan dadah daripada rangkaian mereka termasuk di luar negara. 

 

“Polis juga mendapati enam lelaki yang ditahan berusia 30 hingga 55 tahun yang bekerja sebagai buruh menjadi penghantar bekalan dadah ke luar negara dengan menggunakan jalan laut bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. 

 

“Polis tidak menolak kemungkinan sindiket itu turut mengedarkan dadah di negara ini dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan saki-baki ahli sindiket tersebut yang dipercayai masih berada di sekitar Pulau Pinang,” katanya. 

 

Dalam pada itu, beliau berkata, kesemua suspek negatif dadah dan mereka kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. 

 

“Semua dadah dirampas boleh digunakan oleh 537,500 penagih dan  polis turut menyita wang tunai RM1,000, dua buah kereta dan dua buah motosikal yang kesemuanya RM17,800 daripada tiga lelaki tempatan tersebut,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN