Syabas, tahniah adik Maryam! - PM - Utusan Malaysia

Syabas, tahniah adik Maryam! – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob amat berbangga dengan pencapaian Maryam Muzamir, 11 tahun yang berjaya merangkul tiga pingat emas dalam The 6th International Invention, Innovation Competition (iCAN) 2021 di Toronto, Kanada.

 

Perdana Menteri berkata, ia merupakan pertandingan inovasi dan reka cipta terbesar di benua Amerika Utara. 

 

Beliau berkata, adik Maryam mengharumkan nama Malaysia melalui inovasi makanan haiwan yang diperbuat daripada siput sedut dan juga kulit udang. 

 

“Malah, adik Maryam turut mendapat perhatian dunia melalui siaran Rancangan TV terkemuka, The Late Late Show with James Corden.

  

“Adik Maryam bukan sahaja mengenepikan 600 peserta lain dari 70 negara, tetapi dia juga menjadi pemenang termuda dalam pertandingan tersebut,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook beliau hari ini.

 

Ismail Sabri berkata, Keluarga Malaysia amat berbangga dengan pencapaian adik Maryam dan beliau mendoakannya terus menempa lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.

 

Pada 23 September lalu, rancangan bual bicara terbitan stesen CBS itu menyiarkan kisah adik Maryam dalam isu perubahan iklim dan kelestarian alam sekitar yang turut disiarkan di akaun Twitter rasminya.

 

Maryam merupakan seorang murid Tahun 5 dari SK (P) Methodist Kuantan, memulakan usaha menggunakan cengkerang dan kulit makanan laut setelah membaca sebuah artikel bahawa ia mengandungi kitin, sebatian yang bermanfaat untuk kesihatan ternakan.

 

Pelajar tersebut menang pingat emas di Ican 2021 serta Anugerah Khas Kanada dan Anugerah Pencipta Muda Terbaik. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN