Suami isteri tabah jaga empat anak OKU - Utusan Malaysia

Suami isteri tabah jaga empat anak OKU

ABDUL Rahman Hashim (berdiri, kiri) bersama empat anaknya yang berstatus OKU ketika menerima sumbangan kerusi roda daripada wakil Yayasan Amal Malaysia (berdiri, kanan) di Kampung Tersusun Kuala Gula di Bagan Serai. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: ‘Kami tetap tabah menjalankan tanggungjawab dan amanah kepada anak-anak istimewa saya ini’.

Demikian kata Abdul Rahman Hashim, 61, dan isterinya,  Habibah Mat Noon, 57, yang menjaga empat anak mereka, iaitu tiga perempuan dan seorang lelaki yang merupakan orang kurang upaya (OKU).

Pasangan itu mempunyai 11 orang anak dan  empat daripadanya merupakan OKU iaitu anak kelapan hingga ke -11.

Empat anak OKU pasangan suami isteri itu ialah Badrul Hamizi, 27, Siti Nur Aliza, 25, dan kembar Nor Atiqah, 20,  dan Nor Asyura Abdul yang mengalami masalah saraf menyebabkan kedua-dua belah kaki lemah dan menghidap kencing manis.

Sebelum ini pasangan itu memiliki seorang lagi anak OKU, iaitu anak sulung mereka namun telah meninggal dunia ketika berusia 30 tahun.

Menurut Abdul Rahman, sesukar mana pun kehidupan mereka, dia yang bekerja sebagai nelayan tetap tabah menjaga empat anaknya yang berstatus OKU itu.

Katanya, cabaran membesarkan anak-anaknya yang OKU ialah kewangan untuk keperluan perubatan anak-anaknya apatah lagi pendapatannya sebagai nelayan tidak menentu.

“Pendapatan saya sekitar RM1,000 hingga RM1,500 sebulan, itu belum ditolak duit minyak petrol enjin bot.

“Dengan pendapatan sebegitu, sukar untuk saya menyediakan keperluan perubatan mereka,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia  selepas menerima sumbangan kerusi roda daripada Yayasan Amal Malaysia Cawangan Perak di Kampung Tersusun Kuala Gula dekat sini.

Menurut Abdul Rahman, keempat-empat anaknya itu memerlukan sekurang-kurangnya 360 jarum khas dan alat jalur ujian pakai buang sebulan untuk pemeriksaan darah akibat kencing.

Katanya, setiap seorang anaknya memerlukan tiga jarum khas dan alat jalur ujian pakai buang setiap hari.

“Apabila tak cukup duit, saya hanya mampu beli 10 jarum khas sahaja untuk kegunaan mereka,” katanya.

Menurutnya, keempat-empat anaknya itu menerima bantuan kewangan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, anak-anaknya memerlukan kerusi roda untuk mereka bergerak.

“Kerusi roda yang ada sekarang adalah pemberian dari ADUN Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat pada tahun 2018 dan ADUN Selinsing, Mohammad Noor Dawoo tahun lalu.

“Sekarang ada bahagian pada kerusi roda ini sudah rosak, ” katanya.

Sementara itu, Yayasan Amal Malaysia Cawangan Perak memberi sumbangan sebuah kerusi roda bagi mengantikan kerusi roda yang telah rosak yang diserahkan oleh wakilnya,  Zikrilhakim Mohamad.

Mereka memerlukan tiga buah kerusi roda bagi mengantikan yang rosak.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Abdul Rahman di talian 010-3694070 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Agro Bank milik isterinya Habibah Mat Noon yang bernombor 1-00-5211-00022879-5.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya