PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menilai semula proses pemilihan wakil rakyat agar kaedahnya bersesuaian dengan suasana semasa yang sihat dan demokratik.
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, langkah ini termasuk dengan mengubah kaedah penamaan calon, aktiviti berkempen politik dan pembuangan kertas undi.
“Isu reformasi pilihan raya memang terserah pihak SPR sendiri buat pendirian, namun saya berasa sudah tiba masa keadaan itu dipinda agar selaras masyarakat kontemporari,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di sini hari ini.
Idea perubahan itu disuarakan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) yang menyerahkan 49 syor kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin tahun lalu melalui Pengerusinya, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman yang juga bekas Pengerusi SPR yang tidak menetapkan sebarang tempoh untuk kerajaan melaksanakannya.
ERC ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2018 untuk mengkaji sistem dan perjalanan amalan demokrasi tempatan sedia ada agar setaraf dengan standard negara maju.
Mengulas lanjut, Rais memberi contoh hari penamaan calon yang amat sesak ketara apabila penyokong parti bertanding datang memenuhi pusat penamaan ketika mengiringi calon itu.
“Ini bukan sahaja buang masa dan wang, malah menghangatkan suhu politik jadi amat panas walhal bukankah lebih baik dibuat secara maya yang lebih cepat dan cekap,” jelas beliau.
Begitu juga aktiviti berceramah yang dihadiri ribuan penduduk dan perang bendera, sedangkan kaedah itu boleh diubah kepada program atas talian selain slot di radio atau televisyen.
Matlamat akhirnya kata beliau, ialah semua parti atau calon bebas diberikan ruang kempen lebih adil untuk mereka memperkenalkan diri, dasar siasah dan promosi manifesto politik.
Beliau berpendapat SPR juga boleh melaksanakan pemilihan secara elektronik supaya kerja pengiraan kertas undi secara manual ketika habis waktu pengundian dapat dipercepatkan.
“Mungkin sampai masa PRU beralih kepada cara ini apabila sistem pengkomputeran kita adalah baik dan kalis pencabulan, sekali gus kiraannya lebih tepat dan pantas,” kata beliau.
Pada masa sama, Rais berharap undang-undang mengenai dana politik dapat diwujudkan supaya rakyat tahu lebih telus dari mana sumber pembiayaan kewangan parti bertanding.
Banyak negara maju ujarnya, telah mewartakan peraturan sedemikian bagi pengundi mereka yakin mengenai punca asal dana diperoleh parti atau individu itu adalah sah dan integriti.
Langkah itu juga memastikan tiada pihak ditaja organisasi tertentu atau syarikat berkepentingan termasuk anasir luar negara yang cuba mahu campur tangan urusan politik tempatan.- UTUSAN ONLINE










