PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 baharu supaya ia mudah difahami dan tidak merumitkan dalam mempraktikkannya apabila fasa endamik dilaksanakan tidak lama lagi.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan dan rakyat perlu menerima hakikat bahawa norma baharu menjadi sebahagian kehidupan baharu semua rakyat di negara ini.
Katanya, walaupun semua sudah divaksin, namun rutin kehidupan semua perlu berubah dalam membolehkan lebih banyak sektor dapat dibuka manakala kehidupan kembali sedia kala.
“Biarpun langkah baharu akan diumumkan tetapi Kementerian Kesihatan tiada perancangan melonggarkan pemakaian pelitup muka kerana berdasarkan pengalaman negara lain yang melonggarkannya terpaksa menguatkuasakannya semula susulan kemunculan varian baharu.
“Selain itu, kerajaan akan menggandakan usaha imunisasi dalam kalangan penduduk di negara ini bagi memastikan seramai mungkin mendapat vaksin dalam usaha mengurangkan risiko yang lebih teruk,” katanya dalam sidang akhbar pertamanya di Ibu Pejabat KKM, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.
Khairy berkata, pihak kementerian akan mempertingkatkan ketelusan dengan mempamerkan maklumat data penuh kepada orang ramai dalam membolehkan semua pihak dapat mengaksesnya.
“Bermula minggu hadapan, semua data akan dipamerkan dan kali ini, data yang diberikan adalah melebih data yang sedia ada seperti yang dipamerkan selama ini.
“Ini bagi memastikan tiada tuduhan bahawa kementerian menyembunyikan fakta dan melimndungi kerahsiaan melibatkan Covid-19,” katanya. – UTUSAN