TEL AVIV: Israel meminta Iran melalui perantara Barat supaya menghentikan serangan balas dan kembali menyertai rundingan nuklear dengan Amerika Syarikat (AS), menurut laporan beberapa media AS.
Stesen penyiaran NBC yang memetik sumber kanan Iran di Teheran melaporkan rejim Israel secara terbuka mengancam Iran namun dalam masa sama menghantar mesej secara sulit kepada negara itu agar menghentikan perang.
Permintaan itu disampaikan melalui beberapa negara Barat yang bertindak sebagai perantara namun sehingga kini, wakil kepada Perdana Menteri Israel enggan mengulas berhubung laporan tersebut.
Presiden AS Donald Trump melalui platform media sosialnya, Truth Social berkata, perang antara Iran dan Israel berkemungkinan berakhir melalui satu perjanjian dengan beliau sebagai perantara.
“Kita akan capai keamanan tidak lama lagi antara Israel dan Iran. Banyak panggilan dan perjumpaan berlangsung,” katanya.
Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) melancarkan Operasi True Promise III pada malam 13 Jun sebagai tindakan balas selepas Israel melancarkan serangan terhadap beberapa lokasi di Iran.
Serangan itu menyasarkan kemudahan nuklear, infrastruktur tentera dan kawasan kediaman di Teheran.
Dalam serangan itu, beberapa komander tentera dan saintis nuklear kanan Iran dilaporkan terbunuh. Orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak turut menjadi mangsa kekejaman tersebut.
Sebagai tindak balas, IRGC melancarkan serangan besar-besaran menggunakan peluru berpandu dan dron terhadap sasaran di beberapa kawasan Israel.
Sejak April lalu, Teheran dan Washington sudah mengadakan lima pusingan rundingan tidak langsung yang dimediasi oleh Oman berhubung program nuklear Iran, namun kemajuan rundingan itu terbantut susulan pendirian AS berubah-ubah. – AGENSI










