Siti Nur Shafika, Munira wakil Malaysia ke PABM Piala Perdana Menteri 2021 - Utusan Malaysia

Siti Nur Shafika, Munira wakil Malaysia ke PABM Piala Perdana Menteri 2021

SITI Nur Shafika Md Fakharuzi (kiri) dan Munirah (kanan) bakal mewakili Malaysia ke pertandingan (PABM) Piala Perdana Menteri 2021 selepas muncul johan dan naib johan pertandingan pemililihan yang diadakan selama dua hari yang berakhir hari ini secara dalam talian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pemidato, Siti Nur Shafika Md Fakharuzi dari Institut Perguruan Malaysia (IPGM) Cyberjaya dan Munirah Muhammad dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bakal mewakili negara ke Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2021 yang bakal diadakan November depan.

 

Kedua-dua mereka muncul sebagai johan dan naib johan pada sesi akhir pemilihan wakil Malaysia ke pertandingan tersebut yang diadakan selama dua hari dan dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Majlis Debat Universiti Malaysia (Madum) dan USIM.

 

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Prof. Madya Dr. Mohd. Rushdan Mohd. Jailani berkata, seramai 27 orang peserta daripada pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) telah menyertai sesi pemilihan kali ini.

 

“Kelainan yang diketengahkan pada sesi pemilihan wakil pada kali ini adalah semua proses dijalankan secara dalam talian melalui platform Zoom dan hanya hakim pertandingan sahaja yang hadir secara fizikal di lokasi penganjuran.

 

“Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua pemenang dalam pemilihan wakil Malaysia ke PABM Piala Perdana Menteri 2021. Semoga program ini terus dijalankan sebagai wahana dalam usaha memupuk dan mengukuhkan jati diri anak bangsa terhadap negara yang kita cintai dan mendokong perjuangan mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di Malaysia,” katanya lagi.

 

Mohd. Rushdan berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penutup sesi pemilihan tersebut bagi mewakili Pengarah Bahagian Mahasiswa Holistik Jabatan Pendidikan Tinggi. 

 

Johan pertandingan tersebut membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,500 berserta trofi, di ikuti naib johan menerima hadiah wang tunai RM1,000 berserta trofi manakala tempat ketiga hingga kelima menerima hadiah wang tunai RM300 berserta trofi. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN