PUTRAJAYA: Semakan keputusan permohonan melanjutkan pengajian ke universiti awam (UA) sesi akademik 2021/2022 bagi lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf boleh dibuat bermula hari ini sehingga 25 September ini.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkata, semakan keputusan itu boleh dibuat secara dalam talian mulai pukul 12 tengah hari selaras dengan pengumuman itu yang dilaksanakan hari ini.
Katanya lagi, semakan boleh dibuat melalui pautan https://jpt.utm.my, http://jpt.uum.edu.my, https://jpt.unimas.my, http://jpt.ums.edu.my dan http://jpt.umt.edu.my
“Pengesahan setuju terima tawaran dan surat tawaran boleh dicetak mulai 16 hingga 25 September di laman web UA.
“Surat tawaran rasmi akan dikeluarkan UA kepada yang berjaya mulai esok setelah calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh 10 hari seperti yang dinyatakan,” katanya menerusi kenyataan.
KPT berkata, pemohon yang gagal mendapat tawaran sahaja boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline bagi kemasukan ke UA di https://upu.mohe.gov.my dalam tempoh 11 hari mulai 15 sehingga 25 September depan.
“Tawaran tempat bagi sesi akademik 2021/2022 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran program dan universiti tidak dibenarkan.
“Dasar pemilihan rayuan adalah tertakluk kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan,” jelasnya.
–tamat–