PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan negara perlu segera kembali kepada landasan pembangunan yang tepat dan berpaksikan rakyat.
Beliau berkata, ini berikutan negara sudah sudah kehilangan banyak masa yang berharga dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Bermula dengan janji-janji kosong, diikuti perancangan yang tidak berkesan dan akhirnya kegagalan dalam pelaksanaan.
“Perancangan hanya sia-sia jika sekadar di mulut atau atas kertas, tidak jelas dan tidak teratur. Perancangan hanya mempertaruhkan rakyat dan negara jika dianggap bukan janji.
“Perancangan hanya janji kosong jika tidak ada pelaksanaan. Perancangan dan pelaksanaan yang baik akan membuahkan hasil untuk rakyat,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, perjalanan negara bermula 16 September 1963 penuh peristiwa dan kenangan, bahkan Malaysia boleh disifatkan negara yang melalui banyak perubahan.
Kata beliau, bermula daripada sebuah negara pertanian berpendapatan rendah hingga negara perindustrian moden dan kini sektor perkhidmatan berkemahiran serta industri berteknologi tinggi menjadi tunjang ekonomi negara.
“Kita juga menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran. Dengan kejadian ancaman terhadap demokrasi dan kebebasan individu seperti pemberontakan komunis, rusuhan kaum yang membawa kesan besar terhadap kehidupan harian rakyat seperti kemelesetan ekonomi serta krisis kewangan,” katanya.
Tambah beliau, demikian jelas menunjukkan negara berjaya menangani setiap satunya dengan berjaya hanya dengan perancangan yang bersesuaian dan pelaksanaan yang tepat.
“Malah, setiap langkah yang kita ambil tahun demi tahun membawa kepada kemakmuran dan pembangunan negara, dari Perlis hingga Sarawak dan Sabah.
“Untuk Semenanjung Malaysia, Sarawak, Sabah, Malaysia (dan) anak-anak kita, generasi seterusnya, rancangan perlu dilaksanakan, janji perlu ditepati. Sama-sama kita usahakan Malaysia yang makmur dan sejahtera,” katanya. – UTUSAN ONLINE










