PETALING JAYA : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan merupakan satu permulaan yang baik susulan pertemuannya dan pimpinan Pakatan Harapan (PH) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 25 Ogos lalu.
Menurut Anwar, beliau mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri itu semalam iaitu membabitkan usaha kerajaan di dalam melaksanakan penambahbaikan bagi Parlimen dan pentadbiran kerajaan.
Walaupun begitu, kata Ahli Parlimen Port Dickson itu, proses perbincangan masih berjalan untuk mencari titik persamaan terbaik bagi menangani krisis pandemik Covid-19, menjaga nyawa dan keselamatan diri daripada ancaman wabak serta membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pendapatan dan pekerjaan.
“Justeru itu, antara lain PH turut mengusulkan peruntukan tambahan sebanyak RM45 bilion untuk segera meringankan beban hidup rakyat.
“Keutamaan PH semestinya berteraskan reformasi Parlimen, reformasi fiskal dan program pro rakyat termasuk moratorium pinjaman bank buat golongan M40 dan B40, dan kebebasan institusi kehakiman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, kerajaan bersetuju melaksanakan tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan antaranya Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti dan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun yang akan dibentangkan dalam Persidangan Parlimen Isnin ini.
Perdana Menteri berkata, antara lain turut dibentangkan pelaksanaan Undi18 dalam tempoh terdekat dengan satu Rang Undang Undang Pindaan Perlembagaan.
Mengulas undi percaya, Anwar menambah PH melihat bahawa masih wujud keperluan ia diadakan secepat mungkin pada sidang Parlimen kali ini berdasarkan titah Yang di-Pertuan Agong kepada ketua-ketua parti politik sewaktu sesi menghadap di Istana Negara pada 17 Ogos lalu bagi mengabsahkan bahawa Perdana Menteri telah mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Presiden PKR itu berkata, PH akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang dengan menekankan isu tatakelola kerajaan yang baik serta ketegasan membasmi rasuah.
“Wajar ditegaskan tuntutan agar pembangkang diberi layanan setimpal dan akan memainkan peranan sewajarnya dalam menyemak dan mengimbangi kuasa eksekutif. Kami akan sentiasa lantang memperjuangkan keadilan untuk rakyat,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE