KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memerlukan kira-kira 2.88 juta dos vaksin pada bulan ini bagi membolehkan proses vaksinasi di Sabah dipercepatkan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sehingga ini sebanyak 742,400 dos vaksin dijangka tiba di Sabah. Semalam, 608,400 dos Pfizer BioNTech sudah diterima dan esok dijangka 134,000 dos Sinovac akan tiba di Sabah.
Beliau berkata, ketika ini Sabah menyasarkan purata pemberian vaksin sehari sebanyak 60,000 dos.
“Seperti yg telah dimaklumkan lebih awal, hampir 41 peratus penduduk dewasa Sabah telah melengkapkan pengambilan vaksin.
“Justeru, Sabah berharap memperolehi agihan 2.88 juta dos vaksin bagi bulan September bagi membolehkan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mempertingkatkan kadar vaksinasi kepada penduduk Sabah pada bulan ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Semalam, Sabah mencatatkan sebanyak 2,329 kes Covid-19 dengan 33 kematian dan satu kluster baharu iaitu kluster Jalan Pahlawan yang membabitkan pelatih di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kota Kinabalu.
Sehingga kini sebanyak 45 kes positif dikesan dalam kalangan pelatih konstabel polis, tenaga jurulatih polis, pekerja dewan makan serta ahli keluarga mereka.
Setakat semalam, jumlah kumulatif kes Covid-19 di Sabah sebanyak 152,602 kes dan bilangan keseluruhan kes sembuh sebanyak 120,699 orang.- UTUSAN ONLINE










