RMK-12, agenda penting majukan negara - Utusan Malaysia

RMK-12, agenda penting majukan negara

POTONGAN cukai sudah pasti membolehkan kuasa beli golongan M40 meningkat dan mengurangkan beban kewangan mereka.. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri  Ismail Sabri Yaakob di Parlimen hari ini, adalah agenda penting kerajaan untuk memacu kemajuan negara dan rakyat dalam tempoh lima tahun akan datang (2021 hingga 2025).

Disediakan berdasarkan rancangan-rancangan sebelumnya seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar Pembangunan Nasional, RMK-12 bakal menetapkan asas bagi merealisasikan semangat Keluarga Malaysia yang akan mengubah landasan pembangunan negara untuk mencapai Malaysia yang makmur, inklusif dan mampan.

RMK-12 merupakan satu transformasi. Ia dijangka memberi perhatian khusus terhadap usaha menangani masalah kemiskinan tanpa mengira jantina, etnik, status sosioekonomi dan lokasi.

Beberapa perubahan dan inisiatif yang radikal dijangka dilaksanakan untuk terus meningkatkan taraf hidup rakyat dan memacu kembali pertumbuhan mengambil kira cabaran semasa, khususnya pandemik Covid-19.

Ini kerana, Covid-19 telah menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara dengan kadar inflasi, pengangguran dan kemiskinan kembali meningkat. Jurang pertumbuhan antara negeri, kawasan bandar dan luar bandar juga masih  ketara.

Justeru, RMK-12 dijangka memberi tumpuan kepada dasar dan strategi untuk mengukuh dan menstruktur semula ekonomi, selain menangani ketidakseimbangan pembangunan sosioekonomi bagi mencapai matlamat di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

“RMK-12 bakal menentukan hala tuju negara dalam tempoh lima tahun akan datang,” menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam sesi taklimat baru-baru ini.

Bagi Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, RMK-12 dijangka dijajarkan dengan inisiatif kemakmuran bersama berasaskan tiga dimensi iaitu pemerkasaan ekonomi, kemampanan alam sekitar dan kerekayasaan sosial (social reengineering).

Beliau berkata, pemerkasaan ekonomi meliputi sumber dan bidang baharu pertumbuhan termasuk Revolusi Perindustrian 4.0, ekonomi digital, industri aeroangkasa dan pembangunan wilayah yang bersepadu serta pemboleh pertumbuhan seperti sumber tenaga yang mampan dan ketersambungan infrastruktur.

Kemampanan alam sekitar pula mengambil kira ekonomi biru, teknologi hijau, tenaga boleh baharu serta adaptasi dan mitigasi perubahan iklim.

Manakala kerekayasaan sosial, kata beliau, mencakupi peningkatan nilai-nilai murni, penambahan kuasa beli rakyat, pembentukan masyarakat bumiputera yang berdaya tahan, pengukuhan jaringan keselamatan sosial dan peningkatan kesejahteraan rakyat seperti yang telah dirancang. Ia turut mengambil kira faktor keadaan semasa di mana negara masih mengalami pandemik dan kemeruduman ekonomi.

“Langkah-langkah dan inisiatif ke arah pemulihan ekonomi akan turut terkandung dalam RMK-12 yang tidak akan lari daripada agenda Wawasan Kemakmuran Bersama 2020 yang secara keseluruhannya memberi fokus kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan serta inklusif,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Ahmed Razman, di peringkat antarabangsa pula, komitmen untuk mencapai 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang merangkumi tiga dimensi iaitu ekonomi, sosial dan alam sekitar akan terus diberi penekanan di dalam RMK-12.

Tambah beliau, rakyat mengharapkan masa hadapan lebih baik dari aspek peluang pekerjaan dengan gaji lebih tinggi dan pendapatan yang mampu menaik taraf kehidupan mereka.

Ini kerana katanya, purata gaji dan upah bulanan telah susut sebanyak sembilan peratus pada 2020 dan dari segi median atau penengah, penyusutannya lebih besar iaitu sebanyak 15.6 peratus, dengan penurunan merangkumi segala aspek iaitu jantina, bandar dan luar bandar serta mahir dan tidak mahir.

Pada masa yang sama, kata beliau, negara masih berdepan masalah pengangguran yang tinggi iaitu melebihi 700,000 orang.

“Oleh itu, RMK-12, penumpuan harus diteruskan untuk menyediakan pekerjaan berkemahiran tinggi dan sederhana yang sekali gus menjanjikan gaji lebih tinggi. Inisiatif untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan harus diperhebat supaya ramai rakyat kita mampu mengendalikan pekerjaan yang melibatkan automasi dan digitalisasi supaya mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×