PUTRAJAYA: Sejumlah RM17.1 bilion nilai keseluruhan bantuan diperuntukkan kerajaan termasuk Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dengan lebih 10 juta menerima manfaat itu sehingga hujung tahun ini.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bantuan itu turut meliputi Bantuan Khas Covid-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) yang akan disalurkan kepada mereka yang layak bermula bulan depan hingga Disember nanti.
Menurut beliau, bagi bantuan BPR, secara keseluruhannya sebanyak RM9.6 bilion diperuntukkan yang memanfaatkan 8.5 juta penerima bagi tahun ini.
“Seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, proses pengkreditan Fasa 3 dan Rayuan BPR dilaksanakan mulai Isnin ini yang memanfaatkan seramai 3.6 juta penerima terdiri daripada penerima sedia ada kategori isi rumah dan mereka yang lulus Rayuan BPR melibatkan peruntukan berjumlah RM2.82 bilion.
“Untuk BPR Fasa 3, setiap penerima bakal memperoleh sehingga RM1,400 manakala penerima bayaran Rayuan BPR menerima sehingga RM2,300 mengikut kategori kelayakan masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tengku Zafrul berkata, pembayaran itu adalah penyaluran penuh baki nilai yang sepatutnya diterima penerima BPR dalam meringankan beban mereka yang masih terkesan akibat Covid-19.
Katanya, kerajaan sentiasa peka dengan keperluan semasa dan komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia.
Beliau menjelaskan, dari aspek perlindungan sosial jangka panjang, pelan Perkukuh Pelaburan Rakyat (PERKUKUH) juga sedang menerokai langkah-langkah meningkatkan liputan dan kecukupan perlindungan sosial bagi memastikan rakyat Malaysia mendapat perlindungan serta kemampuan dalam memperbaiki taraf hidup mereka.
“Aspek jaringan keselamatan sosial terutamanya untuk golongan rentan juga terus diberi tumpuan di dalam Bajet 2022,” katanya.-UTUSAN ONLINE