Ramai abai SOP - Utusan Malaysia

Ramai abai SOP

Rakyat Malaysia dilihat tiada pilihan kecuali hidup bersama Covid-19 tapi jaga Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Belum pun memasuki tahap endemik, orang ramai telahpun leka dan mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) dengan menjalani aktiviti di luar rumah dan memenuhi tempat-tempat awam.

Selain tempat riadah dan rekreasi, tasik, sungai serta tempat-tempat pelancongan domestik, kompleks beli-belah, pasar raya dan pasar tani turut menjadi tumpuan umum.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kawasan tumpuan ramai di beberapa buah negeri mendapati pelanggaran SOP adalah paling ketara dilakukan dengan tidak menjaga penjarakan fizikal disebabkan leka membeli-belah dan bersantai.

Malah, ada ibu bapa yang membawa kanak-kanak di tempat umum yang sesak, seolah-olah tidak bimbang dijangkiti virus Covid-19

Di Teluk Intan, Perak, pengunjung pasar tani di sini, Maslan Jamali, 60, mengakui orang ramai mula mengabaikan SOP ketika membeli barang dan keadaan itu tidak sepatutnya berlaku.

Katanya, pihak berkuasa perlu memperketatkan kawalan bagi memastikan SOP dipatuhi sepenuhnya.

“Rasa takut memang ada apabila berada di tempat awam, saya mengambil langkah mematuhi SOP, kena jaga betul-betul. Paling penting menjaga jarak dan kalau terjumpa kawan-kawan pun, saya tak akan bersalam,” katanya.

Seorang pembeli, Syed Haszul Syed Mohd., 43, berkata, dia sememangnya menjangkakan pasar besar di sini akan dipenuhi pelanggan disebabkan semalam cuti hujung minggu.

“Walaupun datang awal, pelanggan sudah ramai malah hingga bersesak dan mengabaikan SOP. Saya berharap kita sama-sama menjaga SOP. Kelonggaran yang diberikan kerajaan untuk rakyat bergerak bukan bermakna keadaan sudah selamat,” katanya.

Di Maran, Pahang, seorang penduduk, Nur Fadhilah Mohd. Yunos, 34, berkata, mahu tidak mahu segala SOP ditetapkan kerajaan harus dipatuhi dan rakyat perlu hidup dalam suanana norma baharu ekoran wabak tersebut.

“Cuma dibimbangi dalam kelonggaran diberikan kerajaan seperti boleh makan di restoran, ada dalam kalangan orang ramai tidak patuh kepada SOP terutama membabitkan aspek penjarakan fizikal.

“Ini kita perlu sedar membabitkan penjagaan SOP ditetapkan kerana tiada jaminan tidak berlaku penularan Covid-19,” katanya.

Seorang penduduk dari Kampung Lubuk Lian, Bera, Razlina Mahdin, 38, pula berkata, dia bimbang kebenaran rentas daerah dan aktiviti sosial boleh menyebabkan penyebaran virus Covid-19.

“Apa yang penting ketika ini, semua individu perlu berasa curiga terhadap tahap kesihatan individu lain dengan cara mematuhi SOP yang ditetapkan. Jangan degil dan berasa kebal dengan jangkitan Covid-19 kerana implikasinya membabitkan keluarga terdekat, jiran dan masyarakat,” katanya.

Di Kuala Muda, Kedah, tinjauan di sekitar daerah ini yang masih dikategorikan di bawah Zon Merah mendapati orang ramai dilihat kurang menitik berat SOP apabila apabila berasak-asak di pasar pagi dan berkumpul di pasar raya tanpa penjarakan sosial.

Seorang peniaga barangan terpakai, Salma Aziz, 45, berkata, dia mengakui pengunjung di pasar dilihat semakin gagal mematuhi SOP tanpa merasa takut dengan wabak Covid-19 yang masih menular sini.

“Letih kami beri ingatan supaya pelanggan patuh SOP seperti yang ditetapkan kerajaan. Tetapi, pelanggan menjawab balik mengatakan mereka telah lengkap dua dos dan tidak perlu mengikuti lagi SOP sepenuhnya kerana berasa selamat dan tidak akan dijangkiti virus itu,” katanya.

Seorang pelanggan di sebuah pasar raya, Mohd. Khir Kamal, 48, berkata, orang ramai dilihat tidak lagi peka dengan SOP apabila mereka dilihat berkumpul dengan sesuka hati.

“Ini amat membimbangkan kerana mereka tidak lagi memikirkan tentang keselamatan diri dan orang sekeliling sehingga lupa jangkitan Covid-19. Orang ramai mula lupa tentang kesedaran kerana beranggapan rutin harian mereka lebih utama daripada menjaga kesihatan sedangkan kita masih belum menang melawan Covid-19,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN