Pusat perjudian dalam talian antarabangsa diserbu, sembilan ditahan - Utusan Malaysia

Pusat perjudian dalam talian antarabangsa diserbu, sembilan ditahan

MOHD. Fazley Ab. Rahman turut serta dalam operasi serbuan sindiket perjudian dalam talian antarabangsa di dua buah unit kondominium berhampiran pusat membeli belah di Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sindiket perjudian antarabangsa yang menjadikan dua unit kondominium berhampiran sebuah pusat membeli belah di Nilai di sini sebagai tempat operasi terbongkar dengan penahanan sembilan suspek hari ini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superitenden Mohd. Fazley Ab. Rahman berkata, serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai pada pukul 8.45 pagi tadi hasil intipan selama lima hari dan maklumat orang awam.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat lima orang lelaki dan empat wanita berusia antara 25 hingga 36 tahun dalam dua buah unit kondominium berasingan disyaki sedang menjalankan perjudian atas talian.

“Lapan daripada suspek merupakan warganegara Indonesia manakala seorang suspek lelaki berusia 36 tahun merupakan warga tempatan dipercayai bertindak sebagai penyelia,” katanya ketika ditemui selepas operasi serbuan di Nilai di sini hari ini.

Mohd. Fazley berkata, modus operandi sindiket perjudian antarabangsa itu adalah menyasarkan pelanggan warga Indonesia dan penawaran dibuat melalui aplikasi WhatsApp serta Line.

“Siasatan mendapati kediaman tersebut dijadikan ‘call centre’ (pusat panggilan) untuk mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian bagi pasaran Indonesia.

“Mereka menawarkan lima jenis perjudian atas talian iaitu Joker, Legend, Live 22, 918 Kiss dan Pramatic dengan nilai pertaruhan RM8,000 hingga RM10,000 sehari,” katanya.

Jelas Mohd. Fazley, lapan suspek warga Indonesia yang ditahan merupakan pekerja dan diberikan gaji antara RM2,000 hingga RM2,500 oleh sindiket berkenaan.

“Semakan juga mendapati dua kediaman tersebut disewa sejak lima bulan dan setahun lalu dengan bayaran RM1,200 serta RM1,800.

“Kemungkinan kondominum ini dipilih kerana lokasinya agak sunyi bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya.

Tambah beliau, dalam serbuan tersebut polis turut merampas 13 buah komputer, tujuh Unit Pemprosesan Pusat (CPU) dan 39 buah telefon bimbit.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) dan (1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta  Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit ( Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN