GEORGETOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang akan mengedarkan sebanyak 40,000 kit ujian kendiri Covid-19 secara berfasa mulai minggu depan bagi kegunaan rakyat negeri ini yang memerlukan kit berkenaan secara percuma.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, selain kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ahli-ahli Parlimen dan senator, kit itu turut akan diedarkan ke pejabat daerah serta Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).
“Bagi rakyat yang mahu mendapatkannya, mereka boleh ke pejabat ADUN, Ahli Parlimen, Senator, pejabat daerah atau Pejabat SUK,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, menurut Kon Yeow, seramai 2,481 individu telah menghadiri sesi ‘walk-in’ Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) peringkat negeri ini semalam di sebanyak 10 Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Daripada jumlah itu, katanya, seramai 327 mendapatkan suntikan Pusat Konvensyen Spice; Tapak Pesta Sungai Nibong (450); Kompleks Sukan Balik Pulau (156); SP Arena (238) dan Tapak Ekspo Seberang Jaya (290).
Selain itu tambahnya, seramai 162 hadir di PPV Vangohh Eminent; Dewan Milenium (209); Pusat Konvensyen Perda (397), Dewan Serbaguna Jawi (152) dan Dewan Sungai Bakap (100).
“Mereka yang layak diminta hadir pada sesi berkaitan bagi membolehkan seluruh populasi dewasa di negeri ini menerima suntikan vaksin sekali gus mencapai imuniti kelompok secara keseluruhan,” katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin akan mengadakan lawatan khas ke Pulau Pinang Sabtu ini.
Katanya, sesi lawatan itu bakal memfokuskan kepada keperluan kelengkapan perubatan hospital serta pusat perubatan di negeri ini dalam menghadapi peningkatan kes harian kini.
“Selain sesi taklimat khas membabitkan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Pulau Pinang, Khairy Jamaluddin juga akan melawat ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi meninjau situasi semasa.
“Saya juga telah memaklumkan kepada beliau mengenai keperluan senarai kelengkapan perubatan dan kepakaran yang memerlukan perhatian khas pihak kementerian dalam surat kepadanya 8 September lalu,” katanya. -UTUSAN ONLINE










