fbpx

PSA capai imuniti kelompok, 86 peratus pelajar lengkap divaksinasi

MOHD. Zahari Ismail menunjukkan tanda bagus sebagai simbol kejayaan PSA mencapai imuniti kelompok dan bersedia menerima kemasukan semula pelajar ke kampus pada 15 Oktober hadapan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) di sini mencapai imuniti kelompok dengan sebanyak 86.7 peratus daripada 3,069 pelajar selesai menerima dua dos vaksin Covid-19.

  

Jumlah itu merangkumi 98.8 peratus pelajar yang sekurang-kurangnya sudah menerima satu dos suntikan.

  

Pengarah PSA, Dr. Mohd. Zahari Ismail berkata, pihaknya bersedia menerima kemasukan pelajar kerana 97.5 peratus daripada 411 kakitangan turut melengkapkan vaksinasi masing-masing.

  

Katanya, kejayaan itu hasil kerjasama erat pihaknya dengan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dan kesedaran warga PSA untuk menerima suntikan vaksin.

  

“Pelbagai usaha giat dijalankan bagi mencapai imuniti kelompok dan berstatus kampus selamat sekali gus bersedia menerima kemasukan pelajar bermula 15 Oktober depan.

  

“Walaupun pelajar tiada di kampus, kita sentiasa berhubung dengan mereka secara atas talian melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan pelbagai program lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

  

Menurut Mohd. Zahari, para pensyarah turut mengambil inisiatif menghubungi pelajar bagi memastikan data pelajar dilengkapkan untuk proses vaksinasi.

  

“Langkah itu perlu dilakukan bagi memudahkan pemantauan dan perekodan data mereka. Namun, kita tidak sesekali memaksa para pelajar untuk menerima suntikan vaksin,” ujarnya.

  

Sehubungan itu, beliau berharap semua pelajar bersedia memasuki kampus dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan norma baharu selain tidak terpengaruh dengan sebarang mitos mengenai vaksin.

  

Untuk rekod, PSA dilantik sebagai penyelaras peringkat Selangor bagi program vaksinasi Politeknik dan Kolej Komuniti yang melibatkan 11 institusi.

  

Program itu menyahut seruan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang mensasarkan 100 peratus kakitangan dan pelajar menerima suntikan vaksin lengkap menjelang hujung Oktober depan.

  

Semalam, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad memaklumkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara dilihat bersedia kembali ke kampus apabila 73 peratus daripada mereka sudah menerima vaksin sehingga 20 September lalu.

  

Situasi itu amat positif dan membolehkan pelajar kembali secara berperingkat bermula 15 Oktober ini untuk meneruskan pengajian secara bersemuka. -UTUSAN ONLINE

 

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI