Projek Sunrise City tidak dapat kelulusan EIA - Utusan Malaysia

Projek Sunrise City tidak dapat kelulusan EIA

Jabatan Alam Sekitar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Cadangan projek pembangunan bercampur Sunrise City di Kuala Nerus yang mencetuskan kontroversi ramai tidak mendapat kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA). 

 

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, keputusan itu dicapai berdasarkan mesyuarat Jawatankuasa Penilaian Teknikal EIA (EIATRC) yang dianggotai oleh agensi Persekutuan, negeri, pakar yang dilantik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). 

 

Katanya, Jabatan Alam Sekitar menerima Laporan EIA projek berkenaan yang melibatkan kerja-kerja penyediaan tanah termasuk pembinaan pemecah ombak, penambakan dan penggorekan induk pada 30 Ogos 2019.

 

“Pameran awam untuk laporan EIA projek Sunrise City pula dilaksanakan dari 17 September hingga 16 Oktober 2019. 

 

“Bagaimanapun, laporan berkenaan tidak mengikut rancangan pemajuan atau fizikal yang diluluskan pihak berkuasa di bawah Seksyen 34A(4)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 di samping tidak memenuhi garis panduan bagi penilaian impak dan langkah mitigasi di bawah Seksyen 34A(2C) akta sama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

 

Wan Abdul Latiff berkata, sehingga kini Jabatan Alam Sekitar tidak menerima sebarang laporan EIA baharu bagi cadangan pembangunan itu.

 

Projek Sunrise City merangkumi kediaman, pelancongan, kemudahan awam termasuk pantai dan lokasi rekreasi di samping hub budaya serta makanan untuk komuniti tempatan. 

 

Cadangan mengenai pembangunan projek itu menimbulkan pelbagai reaksi negatif termasuk oleh Persatuan Aktivis Sahabat Alam – Kuasa menerusi hantaran di laman Facebook bertajuk ‘satu lagi projek penambakan laut akan berlaku di Terengganu’ pada 20 September lalu. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN