Polis kenal pasti individu terlibat ajaran sesat PMYT - Utusan Malaysia

Polis kenal pasti individu terlibat ajaran sesat PMYT

ACRYL SANI ABDULLAH SANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana anggota unit beruniform yang didapati menyertai ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT).

Itu amaran Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani terhadap anggota beruniform yang didakwa menjadi pengikut ajaran PMYT ini.

“Kita akan meneliti dan menyemak maklumat ini. Sekiranya betul dakwaan tersebut, sudah tentu kita akan kenal pasti siapa anggota terlibat dan tindakan akan diambil,” katanya.

Beliau berkata, polis masih dalam proses menjalankan siasatan dan mengumpul maklumat mengenai anggota mahupun pengikut ajaran PMYT tersebut.

Katanya, jika lihat sejarah, ajaran sebegini bukan perkara baharu malah, pasukan polis pernah berdepan dengan gerakan sebegini dan ia berjaya diatasi dari semasa ke semasa.

“Sudah lama tidak dengar (ajaran sesat), sekarang dengar balik dan kita telah mengenal pasti individu terlibat dan kita akan menyelia rapat serta mengambil tindakan untuk mengatasi perkara ini.

“Kita mempunyai cara untuk berhadapan perkara seperti ini dan dahulu pun, kita berjaya mengatasinya.

“Kita ada teknik, cara dan kaedah yang akan dilaksanakan dan dalam hal ini, polis tidak leka dan akan sentiasa memastikan ajaran sebegini tidak akan menimbulkan kerisauan dan keresahan dalam kalangan masyarakat,” katanya selepas majlis serah-terima tugas jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah, hari ini.

Datuk Idris Abdullah menggantikan Datuk Hazani Ghazali yang bertukar ke Bukit Aman sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).

Jelas Acryl Sani, bagi menangani ajaran sebegini tidak boleh tergesa-gesa dan terburu-buru kerana ia membabitkan agensi lain seperti jabatan agama Islam. Maka, maklumat yang lengkap perlu dikumpul dengan bantuan dan nasihat daripada jabatan agama Islam.

Setakat ini, satu laporan polis telah dibuat di Semenanjung Malaysia berkaitan ajaran PMYT ini.

Sebelum ini, seorang wanita berusia 39 tahun menggunakan gelaran Sittah Annur didakwa mula mengembangkan ajaran PMYT yang dipercayai bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

Wanita berasal dari Kelantan dan menetap di Shah Alam ini dikesan menyebarkan ajaran itu sejak enam bulan lalu menggunakan media sosial untuk berkongsi pelbagai ramalan termasuklah akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah sebelum dia memimpin pasukannya untuk mencari Imam Mahdi bagi melawan musuh.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN