PADANG TERAP: Seorang pesawah mendapat durian runtuh apabila menerima hadiah sebuah motosikal Honda Wave Alpha selepas menjadi penerima vaksin Covid-19 ke 49,400 di daerah ini.
Menurut Mohd. Isham Md. Isa, 44, dia terkejut menerima hadiah sumbangan Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid itu yang dianggap sangat bernilai dan tidak menjangkakannya.
Begitu pun katanya, dia berterima kasih terhadap pemberian tersebut memandangkan motosikal Honda EX5 miliknya yang dibeli secara terpakai sejak lima tahun lalu, sudah pun ‘uzur’.
“Sejak beberapa tahun lalu, memang saya ada mengumpul wang untuk membeli motor baharu tetapi tak sangka pula mendapat rezeki ini, hari ini,” katanya.
Mohd. Isham berkata demikian ketika ditemui selepas menerima hadiah motosikal tersebut daripada Mahdzir di Dewan Tunku Putra, Kuala Nerang di sini hari ini.
Sementara itu, Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, angka 49,400 penduduk itu adalah jumlah penduduk berusia 18 tahun ke atas dalam Parlimen ini yang layak divaksin bersandarkan bancian dilakukan pada 2010.
“Kita menghargai kehadiran rakyat di Padang Terap yang keluar beramai-ramai untuk mendapatkan vaksin bagi melindungi diri masing-masing dan masyarakat sekeliling.
“Ini adalah hasil kerjasama semua pihak yang berusaha keras untuk menjayakan program ini termasuk menjalankan program-program pandu lalu serta jerayawara (outreach) di kawasan kampung,” katanya.
Beliau memberitahu, lebih 2,000 pelajar tingkatan empat dan lima di daerah ini akan menerima suntikan vaksin bermula esok.-UTUSAN ONLINE