Pesawah diminta patuhi jadual penggiliran air - Utusan Malaysia

Pesawah diminta patuhi jadual penggiliran air

RAZMAN Zakaria (tiga dari kiri) meninjau kawasan sawah yang mengalami masalah air di Kuala Kurau di Parit Buntar hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: Pesawah di sini dinasihatkan agar mematuhi penggiliran air ke petak sawah di kawasan masing-masing supaya tidak menjejaskan jadual penanaman padi pesawah lain.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria berkata, sikap pentingkan diri segelintir pesawah yang memotong giliran mengambil air tanpa ikut jadual, menjejaskan pesawah lain.

 

“Pesawah hendaklah bermuafakat dan bekerjasama supaya masalah jadual pengaliran air  ke petak sawah seperti yang berlaku di sini tidak lagi menjadi isu.

 

“Bagi mengatasi masalah kekurangan air di petak sawah yang berlaku di sini, JPS akan menjalankan kajian menyeluruh terhadap keberkesanan dan fungsi infrastruktur di sini iaitu palong air dan tali air TA74  agar masalah ini dapat diatasi,” katanya.

 

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau masalah pesawah di Parit Abas dan Parit Mat Ali di Kuala Kurau dekat sini yang tidak dapat memulakan penanaman musim baharu kerana tidak cukup bekalan air.

 

Ia berlaku apabila segelintir pesawah di kawasan lain mengambil air dari terusan Tali Air 74  di sini dan memulakan musim penamanan padi lebih awal, tidak mengikut jadual yang ditetapkan oleh Jabatan Pertanian.

 

Akibatnya, air yang disalur oleh JPS melalui terusan tidak sampai ke petak sawah di Parit Abas dan Parit Mat Ali.

 

Mengenai masalah itu, Razman berkata, ia melibatkan 40 pesawah di kawasan kawasan seluas 30 hektar yang mereka usahakan di kompartmen  C di sini.

 

Beliau berkata, selain itu, kekurangan air di kawasan terlibat disebabkan faktor lain antaranya kedudukan tanah sawah yang tinggi manakala palung air dipasang pada kedudukan lebih rendah.

 

Katanya, masalah kordinasi dan komunikasi di antara pesawah di kompartmen itu turut menjadi punca air tidak dapat dialirkan ke petak sawah.

 

“Untuk mengatasi masalah ini, JPS akan memasang dua pam air pada petang ini di kawasan yang terlibat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN