PUTRAJAYA: Kerajaan melalui Halal Development Corporation (HDC) membangunkan sebuah Platform Bersepadu Halal (HIP) sebagai usaha mengembangkan industri halal negara dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia merupakan salah satu perancangan HDC yang diberi tanggungjawab menerajui pembangunan industri halal kebangsaan di bawah kerangka Pelan Induk Industri Halal 2030.
Menurut beliau, platform ini dapat membantu para usahawan meneroka peluang perniagaan baharu yang berpotensi untuk mendapatkan akses pasaran domestik dan antarabangsa sekali gus memenuhi corak aktiviti perniagaan digital masa kini.
Kata Perdana Menteri, Industri Halal Malaysia adalah antara fokus Pelan Pemulihan Negara dengan pemulihan industri kepada ketahanan ekonomi negara majoriti Muslim bagi meningkatkan kemampuan industri, mendorong peningkatan produktiviti melalaui penggunaan jentera, pengkomputeran awan dan Internet Segala Benda |(IOT) yang banyak mengubah cara menjalankan aktiviti perniagaan.
“Platform ini akan bertindak sebagai jambatan antara pengusaha dan pihak berkepentingan industri, menyatukan mereka di bawah satu ekosistem Halal.
“Tumpuan akan diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana serta mikro yang akan dapat mengakses program, perkhidmatan dan kemudahan bertujuan membantu mereka menjadi peserta aktif dalam ekosistem halal,” katanya ketika berucap melancarkan HIP dan Persidangan Perniagaan Halal 2021 secara maya hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kanan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Perdana Menteri berkata, dari segi pembangunan halal berasaskan pengetahuan, Malaysia berhasrat diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan Global Profesional untuk latihan profesional halal terkemuka.
Beliau berkata, HDC telah pun melatih lebih dari 60,000 individu sejak tahun 2007 di dalam dan luar negara dalam pelbagai sektor melibatkan Program Eksekutif Halal dan Program Pengauditan Dalaman Halal.
Beliau memberitahu, lebih 250,000 individu dilatih secara kolektif dengan pihak lain sekali gus menepati tekad kerajaan Malaysia agar industri halal terus menjadi unggul dengan semangat ‘Keluarga Malaysia’.
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menyeru pihak berkepentingan Industri halal global untuk bekerjasama meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan antarabangsa melalui platform global seperti persidangan seumpama ini.
Katanya, usaha bersama antara akademik dan industri dalam mengadakan perbincangan untuk meneroka dan membincangkan isu-isu berkaitan dengan pengembangan pasaran baharu halal, tentunya akan memberi manfaat.
“Pemain industri halal juga didorong untuk meningkatkan hubungan perdagangan di antara negara-negara perdagangan muslim melalui pertemuan multilateral dan dua hala, misi perdagangan, dan Perjanjian Perdagangan Bebas untuk memenuhi permintaan pengguna Muslim dan bukan Islam global.
“Penerapan Piawaian Halal harus dilihat sebagai proposisi nilai dan bukannya halangan perdagangan ketika meneroka sumber pertumbuhan ekonomi baharu dalam industri halal kerana ia berfungsi sebagai pemangkin pemulihan dalam ekonomi global pasca-wabak,” katanya.- UTUSAN ONLINE










