KOTA TINGGI: Tindakan seorang lelaki keluar ke kedai dengan memakai gelang putih kuarantin membawa padah apabila dikompaun polis di Felda Bukit Aping Timur di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, lelaki berusia 20 tahun itu dikompaun sebanyak RM5,000 kerana melanggar perintah kuarantin di rumah (HSO).
“Anggota Balai Polis Kuala Sedili bersama Pasukan Petugas Khas Covid-19 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi telah membuat pemantauan prosedur operasi standard (SOP) dan pemantauan ke atas individu diarah menjalani HSO di tanah rancangan itu.
“Kompaun telah dikeluarkan kepada individu yang gagal mematuhi perintah kuarantin seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.
“Tindakan diambil selepas polis menerima aduan awam menyatakan lelaki berkenaan keluar dengan memakai gelang putih dan berada di luar rumah serta dilihat berada di kedai berdekatan dengan rumahnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, lelaki itu yang bekerja sendiri telah dikompaun di bawah Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Tambahnya, orang ramai diingatkan supaya sentiasa mematuhi perintah SOP PKP dan mengehadkan pergerakan supaya dapat memutuskan penularan wabak Covid-19. – UTUSAN ONLINE










