LUMUT: Kerajaan Perak menubuhkan jawatankuasa khas bagi menangani semua isu berkaitan penternakan ayam dan lalat di beberapa kawasan termasuk di daerah Manjung yang juga antara daerah pengeluar ayam terbesar di negara ini.
Ia diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria yang akan menjalankan kajian bagi meminda Enakmen Perladangan Unggas Perak 2005 bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap pengusaha yang melakukan pencemaran alam sekitar termasuk menjadi tempat pembiakan lalat.
Razman berkata, jawatankuasa itu juga akan menetapkan tempoh sesuai untuk semua 526 ladang ayam di Perak menggunakan sepenuhnya sistem reban tertutup, dengan sasaran tiga tahun daripada sekarang.
“Ketika ini, hanya kira-kira 30 peratus ladang ayam sedia ada di negeri ini yang menggunakan sistem reban tertutup.
“Ketika ini hukuman maksimum bagi kesalahan berkaitan unggas hanya RM10,000 , justeru kita mahu meminda enakmen sedia ada agar hukuman lebih berat serta memberi lebih banyak kuasa kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi menguat kuasakan peraturan berkaitan,” katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke dua buah ladang ayam di Simpang Dua, Sitiawan, hari ini.
Menurut Razman, lawatan itu dilakukan selepas menerima aduan penduduk berhampiran ladang ayam tersebut mengenai masalah gangguan lalat dialami mereka.
Beliau menjelaskan, penduduk Kampung Baru Simpang Dua memberitahu masalah dialami sudah berlarutan sejak kira- kira 30 tahun lalu, serupa seperti aduan sama yang dialami penduduk di tempat lain.
Razman bagaimanapun tidak mahu menyalahkan pengusaha ternakan ayam semata-mata kerana ada ladang terlibat sudah wujud lebih awal daripada penempatan penduduk di sesuatu kawasan aduan itu dibuka.
Pada masa sama, katanya, sebarang usaha untuk menutup ladang ayam yang dikatakan menjadi punca kepada masalah gangguan lalat boleh memberi kesan kepada kenaikan harga ayam di pasaran.
Jelasnya, sebagai contoh di daerah Manjung terdapat 151 ladang yang memiliki 978 reban menyumbang kepada tujuh peratus pengeluaran ayam negara dan 33 peratus ayam negeri, yang memberi kesan kepada harga pasaran ternakan itu jika tindakan terlalu tegas dikuat kuasakan.
Oleh itu, beliau berharap jawatankuasa khas unggas yang diwujudkan itu mampu mencapai penyelesaian menang-menang terhadap semua isu berkaitan ladang dan ternakan ayam di Perak.
Sementara itu faktor sikap, tanggungjawab dan kesedaran dalam kalangan pengusaha dan pekerja ternakan ayam menjadi penentu sama ada ladang ternakan diusahakan menjadi tempat pembiakan lalat sehingga mengganggu penempatan penduduk berhampiran.
Pemilik syarikat ternakan ayam Sing Lian Keong Sdn Bhd, Ling Yoke Hua, 46, berkata, jika pengusaha dan pekerjanya lebih bertanggungjawab, isu pembiakan lalat boleh dikawal dan dapat memastikannya tidak mengganggu penempatan penduduk berhampiran.
“Memang diakui ternakan sistem reban tertutup lebih mudah mengawal lalat selain lebih cekap daripada aspek pengurusan berbanding sistem reban terbuka.
“Tetapi, jika tiada sikap, tanggungjawab dan kesedaran di kalangan pengusaha dan pekerjanya iaitu tidak menjaga kebersihan, tidak melakukan usaha mengawal lalat seperti membuat semburan kabut (fogging), guna sistem reban tertutup pun boleh menjadi tempat pembiakan lalat,” katanya.
Menurut Yoke Hua, syarikatnya yang mengusahakan 50 reban dengan setiap reban menempatkan 40,000 ekor ayam, melaksanakan sistem reban tertutup sejak 2000 yang didapati lebih mudah untuk mengawal kehadiran lalat berbanding ketika menggunakan sistem reban terbuka sebelum ini.
Malah, katanya, tumbesaran ayam juga lebih baik dan cepat, kadar kematian berkurangan selain keadaan reban lebih bersih menerusi sistem reban tertutup.
“Cuma, risiko sistem reban tertutup ialah memastikan jangan berlaku gangguan elektrik kerana jika terputus bekalan elektrik, ia boleh mengakibatkan kerugian besar kerana ayam akan banyak mati,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE