‘Penutupan program jururawat bawa saya ke sini’ - Utusan Malaysia

‘Penutupan program jururawat bawa saya ke sini’

SITI AWA ABU BAKAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pendedahan eksk­lusif Utusan Malaysia mengenai trend penghijrahan ramai jururawat tempatan ke pelbagai negara asing turut membongkar banyak kisah menarik mereka.

Meskipun tindakan ‘berkelana’ ke sejumlah 14 negara di dunia itu mengakibatkan Malaysia teruk mengalami kekurangan jururawat, tetapi banyak cerita unik melatari kelompok tersebut.

Ini terutamanya Arab Saudi, yang dianggap ‘syurga’ bagi ribuan jururawat Malaysia me­rantau selain faktor gaji mewah dan beraneka kelebihan bagi mengubat rasa rindu kepada tanah air.

Memuatkan artikel berkaitan…

Antaranya Siti Awa Abu Bakar, bertugas sebagai pensyarah di Kolej Kejururawatan Universiti Sains Kesihatan Raja Saud Abdulaziz di Bandar Raya Perubatan Raja Abdulaziz di Jeddah.

Ketika dihubungi, beliau tidak sangka penutupan program kejururawatan tempat bertugas di sebuah pusat pengajian tinggi di Malaysia, membawa hikmah untuk berpindah ke bumi anbia.

“Saya bersyukur tanpa dijangka, impian saya, suami dan anak-anak dapat buat umrah turut dipermudahkan Allah setiap minggu, selain haji atas kuota penduduk asing di sini,” katanya.

Mengakui beban tugas lebih rendah berbanding di tanah air, anak jati Bangi, Selangor berusia 53 tahun itu, sukar adaptasi diri kerana kejutan perubahan budaya pada enam bulan pertama.

Bagaimanapun setelah enam tahun di Jeddah, beliau yang berpengalaman 25 tahun sebagai jururawat di Malaysia, mulai berasa seronok meskipun petugas­nya terdiri pelbagai kerakyatan.

Siti Awa yang kini sambung belajar peringkat doktor falsafah secara jarak jauh, turut memanfaatkan teknologi bagi berhubung dengan anak-anaknya, adik, saudara dan rakan di Malaysia,” jelasnya yang pulang ke tanah air setahun sekali.

Bagi Zainudin Rozali, 41, peluang bertugas sejak lima tahun di Hospital Putera Muhammad Abdulaziz, Madinah, kerana tertarik dengan sistem budaya kerja yang cekap negara tersebut.

ZAINUDIN ROZALI

Kurang aspek birokrasi dan segalanya begitu profesional tanpa campur tangan berlebihan daripada pihak atasan, menjadikan pengalaman kerjaya kejururawatan di situ juga amat unik.

Dalam nada merendah diri, jururawat dari Kedah dan pernah berkhidmat 15 tahun di Pusat Perubatan Universiti Malaya itu, menyifatkan misi penghijrahan dirinya juga demi negara tercinta.

“Bagi mereka yang ada sejarah mengerjakan haji atau umrah, Madinah ternyata sangat tenang dan mendamaikan, malah kehidupan penduduk di Arab Saudi juga tidak susah,” katanya lagi.

Secara berjenaka, beliau memberitahu, mudahnya mereka kerana senang bagi mendapatkan makanan Asia termasuk Malaysia, sekali gus tidak melupakan asal-usulnya dari negara ini.

Apatah lagi ujarnya, mereka diberikan kemudahan cuti tahunan selama 60 hari dan menerima tiket kapal terbang percuma pergi balik dua kali setahun, yang dimanfaatkan sebaik mungkin.

Tanpa menafikan gaji sebagai faktor utama, namun banyak tarikan lain menjadi punca termasuk kualiti pengalaman jururawat Malaysia selain sedia berdepan cabaran budaya kerja asing. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini