SUNGAI SIPUT: Seorang penoreh getah maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas di laluan pejalan kaki Jambatan Victoria dekat Karai di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.50 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 60 tahun meninggal dunia di lokasi nahas dengan getah sekerap dibawanya bertaburan di atas jalan.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, siasatan mendapati wujud bekas geseran pada tiang besi di laluan berkenaan yang dipercayai akibat dilanggar motosikal mangsa.
Katanya, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas melanggar tiang besi tersebut.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE