KUALA PILAH: Apabila kelonggaran merentas daerah diberikan selepas Negeri Sembilan beralih ke Fasa 2 dan Fasa 3 dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), antara yang mampu menarik nafas lega ialah para peniaga itik dan ayam salai di sekitar Terachi, dekat sini.
Apa tidaknya, apabila aktiviti rentas daerah dan negeri dilarang semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan semasa Fasa 1 PPN, perniagaan mereka amat terjejas tanpa kehadiran pelanggan.
Seorang peniaga, Norafazreen Kamarulzaman, 21, berkata, pelanggan yang hadir ke gerainya semakin bertambah sejak hari pertama peralihan ke Fasa 2 dan 3 PPN.
“Jika sebelum ini, kami hanya dapat menjual dalam 20 ekor sahaja itik salai sehari. Tetapi, apabila rentas daerah mula dibenarkan, jualan juga meningkat hingga mencecah sebanyak 70 ekor itik salai sahari,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Gerai Cekta Itik Salai Gojes milik keluarganya di sini semalam.
Sementara itu, menurut Norafazreen, jualan itik salai begitu popular dan mendapat permintaan di sekitar daerah ini kerana pelanggan mampu memperolehnya dengan harga lebih murah.
“Kebanyakan pelanggan memaklumkan itik salai di sini jauh lebih murah berbanding lokasi lain. Kami menjual dengan harga RM25 hingga RM30 seekor bergantung saiz kerana terdapat banyak saingan di sini, kadang kala ada peniaga menjual dengan harga serendah RM23.
“Kami hanya menjual itik yang disalai hari tersebut sahaja. Setiap pagi saya akan mula menyalai sebanyak 12 ekor itik terlebih dahulu dan sekiranya mendapati pelanggan semakin ramai baru saya akan tambah,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Mohamad Saiful Nizam Jahaluddin, 35, berkata, dia terpaksa menggunakan wang simpanan untuk meneruskan perniagaannya itu kerana jualan agak perlahan
“Alhamdulillah, perniagaan kini semakin pulih, bagaimanapun, kami sebagai peniaga kecil berharap aktiviti rentas negeri dapat diberikan kebenaran secepat mungkin.
“Apabila keadaan kembali pulih, memang kami minta rentas negeri dibenarkan, kami memang terjejas teruk semasa PKP lalu, banyak wang simpanan telah digunakan bagi menampung kekurangan pelanggan,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE










