Peniaga di Langkawi diingatkan tidak naik harga barang - Utusan Malaysia

Peniaga di Langkawi diingatkan tidak naik harga barang

Azman Adam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran tindakan tegas akan diambil ke atas peniaga di pulau peranginan itu yang menaikkan harga barangan keperluan selepas pulau itu dibuka kepada pelancong sejak 16 September lalu.

 

Pengarah Penguatkuasanya, Azman Adam berkata, mereka akan meningkatkan pemeriksaan di premis-premis perniagaan di pulau ini untuk memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan menaikan harga barangan secara sewenang-wenangnya.

 

Menurutnya, walaupun kementerian menerima laporan mengenai peniaga yang menaikkan harga barangan, namun, pemeriksaan harga akan tetap dilakukan di pulau peranginan itu.

 

Katanya, KPDNHEP mempunyai kaedah tertentu untuk mengesan peniaga menaikkan harga barangan termasuk melalui penyamaran.

 

“Peniaga yang berdegil dengan menaikkan harga barangan boleh didakwa melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” katanya.   

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat pemeriksaan kit ujian pantas (RTK) secara kendiri di Bangunan The Smith, Padang Matsirat di sini hari ini.

 

Selain itu, beliau memberitahu, sebanyak 33 premis diberi amaran kerana menjual alat saringan itu melebihi harga siling yang ditetapkan kerajaan di seluruh negara sejak 5 September lalu.

 

“Pemilik premis terbabit didapati menurunkan harga kit RTK secara kendiri tidak melebihi harga yang ditetapkan,” ujarnya.

 

Bagaimanapun, Azman menambah, dua premis sudah dikenakan tindakan atas kesalahan menjual kit RTK secara kendiri melebihi harga siling.

 

Menurutnya, dua premis berkenaan terletak di Melaka dan Sabah.

 

“Kertas siasatan telah dibuka bagi dua kes tersebut dan memerlukan sedikit masa lagi untuk diselesaikan,” katanya.

 

KPDNHEP menetapkan harga runcit maksimum bagi kit RTK antigen secara kendiri di pasaran tempatan adalah sebanyak RM19.90 seunit berkuat kuasa pada 5 September lalu. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN