ALOR SETAR: Seorang pengurus sebuah kedai pajak gadai disyaki mencuri barang kemas milik pelanggan bernilai RM183,960 di premis tersebut di Changlun, Kubang Pasu dekat sini sejak Ogos lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek yang berumur 41 tahun itu ditahan pada Rabu lalu.
Menurutnya, suspek ditahan selepas pemilik premis terbabit membuat laporan polis berhubung kejadian pada 14 September lalu.
Katanya, kegiatan suspek dikesan pemilik premis berkenaan yang bergelar Datuk berusia 60 tahun pada 10 September lalu setelah meneliti laporan audit perniagaan.
“Siasatan lanjut mendapati suspek telah mencuri barangan kemas seperti cincin, subang, gelang, loket emas dan rantai yang digadai sejak Ogos lalu.
“Perbuatan suspek juga dikesan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di premis apabila suspek membuat penebusan barang emas tanpa kehadiran pelanggan,” katanya ketika dihubungi di sini malam ini.
Kamarul Zaman menambah, suspek didakwa memajak barang kemas tersebut di sebuah cawangan bank di daerah ini untuk memperoleh wang bagi kegunaan peribadi.
“Suspek telah ditahan pada Rabu lalu direman sehingga Jumaat ini,” ujarnya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE










