LANGKAWI: Penduduk di pulau peranginan ini lega apabila mereka dapat bekerja semula selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan projek rintis gelembung pelancongan di sini bermula 16 September ini.
Kebanyakan penduduk yang bekerja di sektor pelancongan kehilangan mata pencarian apabila kebanyakan hotel dan agensi pelancongan serta premis perniagaan ditutup sejak penularan Covid-19 pada tahun lalu.
Seorang pekerja di sebuah hotel empat bintang di sini, Mohd. Azhar Saidan, 36, berkata, dia berharap pembukaan semula Langkawi dapat memberi peluang kepada pekerja hotel di pulau ini bekerja semula selepas mereka tiada sumber pendapatan tetap selepas penutupan hotel sebelum ini.
“Sejak dari Mac tahun lalu hingga sekarang, saya hanya dibayar separuh daripada gaji bulanan saya disebabkan hotel mengambil keputusan untuk menghentikan operasi apabila sektor pelancongan tidak dibenarkan operasi.
“Dengan pembukaan semula ini, diharapkan keadaan ekonomi Langkawi boleh pulih seperti sedia kala,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Seorang pekerja sebuah restoran makanan segera, Norhartini Husin, 32, berkata, dia diberhentikan kerja di restoran itu apabila pihak pengurusan menutup operasinya berikutan kekurangan pelanggan berkurangan apabila pelancong tidak dibenarkan masuk ke pulau ini.
Katanya, dia diberhentikan sejak Mac lalu dan bergantung kepada wang yang dikeluarkan daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya bagi menyara dirinya dan seorang anak.
“Bagaimanapun saya lega apabila menerima panggilan untuk bekerja semula bekerja kerana restoraj itu bercadang untuk membenarkan pelanggan yang lengkap dua dos vaksin makan di restoran itu,” ujarnya.
Seorang lagi pekerja agensi pelancongan, Mohd. Amirul Amar, 39 melahirkan rasa syukur kerana majikan telah memanggilnya untuk bekerja semula pada minggu ini.
“Saya diberi cuti tanpa gaji oleh majikan sejak Januari lalu dan dan terpaksa melakukan kerja sebagai penghantar makanan untuk mencari pendapatan.
“Saya berharap industri pelancongan di Langkawi akan terus dibuka kerana pendapatan sebagai penghantar makanan tidak mencukupi untuk menampung keperluan tiga anak yang masih kecil,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengurus Besar Hotel Adya Langkawi, Razmi Rahmat berkata, hotelnya telah memanggil semula pekerja yang sebelum ini dicutikan bagi bersedia untuk pembukaan semula Langkawi pada Khamis ini.
“Mereka yang dicutikan atau diberhentikan apabila hotel tidak dibenarkan beroperasi telah dipanggil semula.
“Tidak semua pekerja hotel ini balik ke kampung masing-masing jadi tiada masalah ketandusan pekerja hotel di Langkawi,” katanya yang juga Naib Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kedah/ Perlis. -UTUSAN ONLINE