Pendapatan hasil Kedah dijangka meningkat tahun ini - Utusan Malaysia

Pendapatan hasil Kedah dijangka meningkat tahun ini

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR:  Pendapatan hasil kerajaan negeri pada tahun ini dijangka mengatasi pencapaian tahun lalu meskipun terpaksa berhadapan dengan kemelut kesihatan akibat penularan Covid-19 yang melanda dunia.

 

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pendapatan negeri ketika ini telah mencecah hampir RM559 juta dan memerlukan kira-kira RM1 juta untuk mencapai pendapatan keseluruhan dicatatkan pada Disember tahun lalu berjumlah RM560.6 juta.

 

Malah, katanya, dengan berbaki kira-kira empat bulan, kerajaan negeri dijangka mampu memperoleh tambahan pendapatan sebanyak RM40 juta lagi.

 

“Sehingga 19 September lalu, pendapatan yang diperoleh kerajaan negeri adalah sebanyak RM558.9 juta.

 

“Jumlah terimaan hasil itu melebihi nilai yang dicatatkan pada September 2020 iaitu RM397.06 juta dan September 2019 iaitu sebanyak RM476.46 juta,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ketua pembangkang, Datuk Phahrolrazi Zawawi (PH-Alor Mengkudu) yang bertanyakan mengenai jumlah pendapatan sebenar hasil kerajaan negeri pada 2020 dan 2021 pada Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah di sini hari ini.

 

Menjawab soalan tambahan Mohd. Azam Abd. Samat (Pas-Sungai Limau), Muhammad Sanusi berkata, langkah berjimat-cermat dilaksanakan kerajaan negeri merupakan antara faktor kejayaan pihaknya bagi memastikan kedudukan kewangan negeri berada di tahap terbaik pada waktu ini.

 

“Akibat Covid-19, banyak program yang biasanya dilaksanakan setiap tahun tidak dapat dijalankan pada tahun ini. Jadi, wang-wang itu kita simpan selain perbelanjaan juga sentiasa cuba diminimumkan.

 

“Oleh sebab itu, ketika ini, kita ada simpanan hingga RM600 juta yang merupakan pencapaian terbaik negeri. Selepas ini, insya Allah kita akan usaha tambah pendapatan melalui kutipan tunggakan-tunggakan besar,” katanya.

 

Menjawab soalan tambahan Phahrolrazi mengenai bantuan Covid-19 yang akan diisytiharkan kerajaan selepas ini, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri bakal menyediakan pinjaman mudah dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1 juta kepada golongan peniaga.

 

“Pemberian pinjaman dengan kadar maksimum sebanyak RM5,000 itu dijangka memberi peluang kepada peniaga kecil untuk memulakan kembali perniagaan kecil-kecilan mereka yang terhenti akibat PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sebelum ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN