Pencemaran toksik terus hantui Johor - Utusan Malaysia

Pencemaran toksik terus hantui Johor

Pencemaran di Kampung Seri Aman, Kempas yang menyebabkan ramai penduduk terjejas kelmarin menggemparkan sekali lagi penduduk Johor Bahru selepas tragedi menimoa Sungai Kim Kim pada 2019.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Selepas tragedi Sungai Kim Kim di Pasir Gudang pada Mac 2019, Johor sekali lagi menjadi tumpuan apabila terus dihantui isu pencemaran alam sekitar membabitkan sisa buangan bahan kimia.

Kali ini, tidak jauh dari pusat bandar raya, Kampung Baru Sri Aman yang terletak di Kempas pula menjadi ‘mangsa’ apabila dikesan berlaku tumpahan bahan buangan berjadual secara haram ke tali air di kampung itu sehingga menyebabkan 102 penduduk diarahkan mengosongkan rumah mereka.

Pencemaran bau yang dikesan sejak pukul 8.30 malam kelmarin turut menyebabkan empat wanita berusia 22 hingga 49 tahun dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) akibat sesak nafas.

Dalam kejadian kali ini, Sungai Tebrau sepanjang 1 kilometer didapati terjejas dengan kehadiran bahan kimia yang kelihatan seperti minyak hitam yang setakat ini dikesan sebagai Methyl Alcohol dan Metanol.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr. Famey Yusof berkata, pihaknya akan menghantar sampel yang diambil di lokasi yang tercemar terlebih dahulu untuk mengenal pasti jenis toksik yang dibuang termasuk premis yang membuat pelupusan secara haram.

“Sampel tersebut akan dihantar ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya yang mempunyai makmal lengkap kerana bagi menentukan bahan toksik ini memerlukan penganalisaan yang terperinci.

“Kita percaya akan dapat mengesan premis yang membuat pelupusan secara haram bahan buangan ini. Ada beberapa kilang yang disyaki melakukan kegiatan itu dan pihak JAS dalam tindakan untuk membuat serbuan,” katanya di sini, semalam.

Mengenai keadaan semasa di kawasan tercemar, Dr. Famey memberitahu, hasil cerapan udara di kawasan tersebut menunjukkan terdapat tiga jenis bahan kimia di udara yang utama dengan bacaan pada 0.6 hingga 1 ppm iaitu sangat minimum.
Sementara itu, dalam kenyataan akhbar Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan memaklumkan, sembilan suspek telah ditahan polis sehingga petang semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Pemeriksaan ke atas beberapa premis yang disyaki terlibat menyebabkan pencemaran juga dijalankan termasuk kilang pirolisis tayar,” katanya.

Dalam pada itu, penduduk mendakwa, pencemaran itu menghasilkan kepulan wap dan mengeluarkan bau busuk seperti tayar dibakar sehingga menusuk hidung sejak pukul 9 malam semalam.

A. Khalib Muslim, 70, berkata, hidupan air seperti ikan dan labi-labi turut kelihatan mati di tali air lokasi pencemaran bermula.

“Beberapa penduduk kampung termasuk saya dapat menghidu bau hangit seperti tayar dibakar yang amat kuat. Kami mula mencari sumber bau busuk itu sebelum ternampak kepulan asap keluar dari tali air berdekatan.

“Apabila menyuluh ke arah tali air berkenaan, kami nampak ikan serta labi-labi terapung yang sudah mati malah kami juga mengalami kesukaran bernafas ketika itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN