Pemulihan bekalan air Lembah Klang capai 26 peratus - Utusan Malaysia

Pemulihan bekalan air Lembah Klang capai 26 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pemulihan bekalan air di semua 463 kawasan terjejas di Lembah Klang sudah mencapai tahap 26 peratus setakat ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memaklumkan pemulihan melibatkan tiga wilayah itu direkodkan sehingga pukul 1 petang tadi.

“Kawasan terjejas di Hulu Langat mencatatkan sebanyak 61.1 peratus pemulihan diikuti Sepang (43.3) dan Putrajaya (17.4).

“Daerah Petaling dan Kuala Langat masih berada pada tahap sifar peratus setakat ini,”
kata kenyataan itu hari ini.

Tempoh masa pemulihan bekalan air berbeza antara kawasan dan bergantung kepada lokasi serta jarak premis pengguna.

Bantuan bekalan air alternatif melalui lori tangki air terus digerakkan kepada pengguna dan premis kritikal sepanjang gangguan tidak berjadual itu.

Terdahulu, Air Selangor memaklumkan gangguan bekalan air berkenaan dijangka pulih sepenuhnya pada Jumaat ini.

Bekalan air bersih dan selamat mula disalurkan secara berperingkat di kawasan terlibat pada pukul 7 pagi tadi.

Pengguna boleh merujuk Jadual Pelan Pemulihan terperinci di www.airselangor.com, atau ‘Instagram Instastory’ & ‘Facebook Story’.

Air Selangor turut menjalankan ujian kualiti air yang mematuhi piawaian ditetapkan Kementerian Kesihatan dan disahkan selamat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk diagihkan kepada pengguna.

Semalam, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir terpaksa dihenti tugas akibat pencemaran bau pukul 12 tengah hari.

Keadaan itu mengakibatkan sebanyak 463 kawasan di lima wilayah di Lembah Klang dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Ia melibatkan 194 kawasan terjejas di Sepang, Petaling (172), Hulu Langat (54).
Putrajaya (23) dan Kuala Langat (20).

Namun, LRA itu mula kembali beroperasi selepas bacaan bau tahap 0 Ton direkodkan tiga kali berturut-turut di Sungai Semenyih petang semalam.

Pembersihan sistem rawatan air bagaimanapun perlu dilakukan terlebih dulu dan mengambil masa kira-kira 14 jam sebelum dapat diagihkan kepada pengguna.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian memaklumkan punca sebenar pencemaran yang menyebabkan henti tugas LRA itu belum dikenalpasti setakat ini.

Air Selangor sedang bekerjasama dengan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bagi mengenalpasti punca pencemaran air mentah di sepanjang Sungai Semenyih dan anak sungai di sekitar sungai berkenaan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya