Pemuda pembangkang Pulau Pinang buat laporan polis terhadap Guan Eng  - Utusan Malaysia

Pemuda pembangkang Pulau Pinang buat laporan polis terhadap Guan Eng 

DUA sayap Pemuda parti pembangkang Pulau Pinang iaitu Gerakan dan MCA membuat laporan polis terhadap Lim Guan Eng berhubung dakwaan melanggar tempoh kuarantin kendiri di Georgetown, Pulau Pinang semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Dua sayap pemuda parti pembangkang di Pulau Pinang membuat laporan polis semalam terhadap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang didakwa melanggar tempoh kuarantin kendiri. 

 

Laporan polis itu dibuat Pemuda Gerakan negeri yang diwakili jurucakapnya, Mohd. Aswad Jaafar dan Ketua Pemuda MCA negeri, Lim Swee Bok di ibu pejabat polis daerah Timur Laut di sini. 

 

Laporan itu supaya polis menjalankan siasatan selepas Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih menghadiri sidang DUN pada 2 September lalu sedangkan beliau dilaporkan sepatutnya menjalani kuarantin kendiri bermula 1 hingga 10 September. 

 

Terdahulu, media melaporkan perbicaraan kes Guan Eng yang berdepan empat pertuduhan melibatkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang ditangguhkan kepada 22 September ini selepas beliau diarah menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19. 

 

Peguam Guan Eng, Gobind Singh Deo memaklumkan kepada mahkamah anak guamnya itu diarah menjalani perintah kuarantin kendiri selama 10 hari bermula 1 hingga 10 September ini.

 

Dalam pada itu, Swee Bok berkata, siasatan terhadap Guan Eng berhubung perkara tersebut perlu dilakukan kerana perbuatannya telah menjejaskan kepentingan orang awam dan mencetuskan kebimbangan ramai. 

 

Sementara itu, Mohd. Aswad pula berkata, tindakan Guan Eng tersebut boleh disifatkan seperti tidak menghormati dan seolah-olah menghina mahkamah.  -UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN