JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan memperluas pemberian komputer riba untuk kegunaan pelajar dari keluarga B40 dalam memastikan setiap mereka dapat meneruskan pembelajaran dengan sempurna walaupun secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, program yang dilaksanakan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor (PRE 3.0) itu menelan peruntukan berjumlah RM25 juta.
Katanya, untuk pelaksanaan kali ini, sejumlah 8,000 laptop beserta kemudahan internet disediakan kepada para pelajar.
“Komputer riba ini adalah untuk diedarkan kepada sekolah seluruh Johor bagi kegunaan pelajar dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan, B40 dan sebagainya.
“Saya berharap pendekatan ini akan dapat diperluaskan untuk tahun depan, mungkin tahun ini 8,000, Insha-Allah, tahun depan kita tambah 10,000 untuk teruskan program membantu kemudahan pembelajaran di semua sekolah di Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Penyerahan Komputer Riba di Jabatan Pendidikan Negeri Johor, di sini hari ini.
Pada 23 Ogos lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang berkata, program itu sebahagian daripada peruntukan RM126.86 juta disediakan kerajaan negeri menerusi PRE 3.0.
Katanya, kerajaan negeri akan mengagihkan 8,000 komputer riba dan ‘pocket wifi’ kepada sekolah seluruh Johor yang akan dijadikan aset sekolah untuk dipinjamkan kepada pelajar kurang berkemampuan.
Sementara itu, Hasni turut mengucapkan tahniah kepada atlet paralimpik negara, Chew Wei Lun yang menghadiahkan pingat perak kepada kontinjen negara menerusi acara boccia individu campuran BC1, di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Menurut beliau, kejayaan anak Johor itu akan dibincangkan dalam mesyuarat kerajaan negeri minggu depan untuk dipertimbangkan pemberian penghargaan yang sesuai buatnya.
“Walaupun dia tidak tersenarai sebagai potensi penerima pingat, tetapi, Alhamdulillah, dia berjaya menghadiahkan pingat perak buat negara dan untuk itu, kerajaan negeri ingin memberikan penghargaan kepadanya.
“Perkara ini akan saya bangkitkan dalam mesyuarat kerajaan minggu depan untuk ditetapkan apakah bentuk bantuan boleh diberi, tetapi, percayalah, ia sesuatu yang setimpal dengan sumbangan kepada negara,” katanya. -UTUSAN ONLINE