SETIA Garden Residences yang dibangunkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak AS$81 juta (RM344 juta) di EcoXuan di Ho Chi Minh City, Vietnam direka bentuk untuk menjadi mercu tanda baharu di koridor Utara bandar tersebut.
Projek yang dibangunkan oleh S P Setia Bhd. (Setia) tersebut terletak di perbandaran EcoXuan, di Wilayah Bình Duong.
Pembangunan yang disasarkan siap pada 2027 itu terletak di Binh Duong Boulevard, yang merupakan jalan arteri utama yang menghubungkan Ho Chi Minh City dengan wilayah-wilayah berdekatan.
Setia Garden Residences merangkumi tiga menara dengan 27 hingga 28 tingkat dan akan menawarkan 865 pangsapuri dan rumah kedai mewah.
“Jenis apartmen terdiri daripada unit studio, satu, dua dan tiga bilik tidur. Sejajar dengan falsafah Setia untuk membina komuniti yang mampan selaras Live Learn Work Play, pembangunan itu menawarkan pelbagai kemudahan.
“Ini seperti dek berlandskap tinggi dengan suite kemudahan yang komprehensif termasuk kolam renang, pusat kecergasan, spa, taman permainan kanak-kanak, ruang kerja bersama, bilik gaya hidup, ladang bandar dan sistem keselamatan komprehensif,” katanya dalam kenyataan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Setia, Datuk Choong Kai Wai berkata, Setia komited untuk menjadi peneraju dalam membina komuniti yang mampan dan memperkayakan gaya hidup, bukan sahaja di Malaysia tetapi di peringkat global, terutamanya dalam mengukuhkan kedudukannya di Vietnam.
“Kemajuan Setia di Setia Garden Residences di EcoXuan mencerminkan komitmen kami dalam pembangunan strategik, berikutan penggabungan pentadbiran Binh Duong ke Ho Chi Minh City,” katanya semasa majlis pecah tanah baru-baru ini.
Lokasinya di sepanjang Lebuhraya Nasional 13 akan menjaminkan penyambungan lancar ke daerah pusat perniagaan berdekatan.
Penduduk akan menikmati kemudahan gaya hidup dan pusat kesihatan berhampiran seperti AEON Mall, Lotte Mart, Padang Golf Song Be dan Hospital Antarabangsa Becamex yang terletak dalam radius 10 minit dengan pemanduan kenderaan.
Setia Gardens Residences yang merupakan sebahagian daripada perbandaran EcoXuan bernilai AS$261 juta (RM1.1 billion), menawarkan gaya hidup sedia masa depan yang diperkayakan dengan pembangunan infrastruktur berintegrasi.
Menjangkau 10.9 hektar, perbandaran ini dikelilingi oleh rangkaian penghubungan utama termasuk Laluan Metro 1 dan 2, Jalan Lingkaran 3 dan 4 serta lebuh raya menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Long Thanh.
Lokasi strategik ini dijangka akan meningkatkan nilai hartanah dan kemudahannya, manakala visinya akan menggalakkan kehidupan mampan, menjadikan Setia Gardens Residences, EcoXuan pilihan yang ideal untuk pembeli yang mencari potensi pelaburan yang bernilai buat masa depan. – UTUSAN










