Pemberian dos ketiga vaksin bermula Oktober - Utusan Malaysia

Pemberian dos ketiga vaksin bermula Oktober

KHAIRY Jamaluddin mempengerusikan Mesyuarat Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) bersama Muhammad Sanusi Md. Nor di Alor Setar hari ini. - UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pemberian dos ketiga atau dos penggalak vaksin Covid-19 kepada golongan berisiko tinggi di negara ini dijangka dilaksanakan bermula awal Oktober. 

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, keutamaan pemberian dos penggalak itu akan diberikan kepada golongan rentan antaranya warga emas yang memiliki komorbiditi serta masalah kesihatan kronik, petugas barisan hadapan yang berisiko tinggi serta mereka yang memiliki imunisasi lemah dan berada atau bekerja di pusat jagaan warga emas.

Katanya, golongan tersebut akan diberi keutamaan kerana data sedia ada menunjukkan mereka sebagai kumpulan paling berisiko untuk dijangkiti Covid-19 kategori lima dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).    

“Ada yang tanya mengapa perlu dos ketiga dan adakah ini bermakna dua dos tidak berkesan? Sebenarnya perkara itu tidak timbul kerana banyak negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom dan Singapura sudah laksanakan dos penggalak ini bagi meningkatkan tahap imunisasi rakyat.

“Bagaimanapun kita belum buat keputusan sama ada dos penggalak ini diperlukan untuk semua. Perkara itu masih lagi dalam perbincangan dengan golongan pakar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena lawatan kerjanya ke Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan pemberian dos ketiga Vaksin Covid-19 bagi meningkatkan perlindungan kepada golongan rentan daripada risiko jangkitan Covid-19.

Mengulas lanjut Khairy berkata, ketika ini beliau sudah meminta syarikat pengeluar vaksin terlibat untuk menghantar maklumat lanjut kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk dinilai untuk pihaknya menetapkan polisi berkaitan.

“Di Amerika Syarikat pun, Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA) mengatakan dos ketiga ini akan diberikan kepada golongan berusia 65 tahun ke atas. Setiap negara ada polisi berbeza dan kita akan mulakan dengan kumpulan rentan disebutkan tadi,” katanya,

Dalam pada itu, Khairy memaklumkan, pihaknya mengesan sebanyak 523 daftar masuk dilakukan melalui aplikasi MySejahtera oleh individu yang sepatutnya menjalani perintah pengawasan di rumah (HSO) dalam tempoh seminggu lalu di negeri ini.

Menurutnya, sebanyak 18 peratus daripada daftar masuk itu dibuat di pasar raya.

“Itu menunjukkan individu yang positif Covid-19 atau berstatus kontak rapat ini tidak mematuhi peraturan ditetapkan manakala pemilik premis dan pengawal pula tidak melakukan pemeriksaan dengan betul terhadap orang yang memasuki bangunan mereka.

“Nama-nama mereka yang melakukan tindakan itu akan dihantar ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk tindakan lanjut manakala pemilik premis pula, kita minta supaya mereka periksa betul-betul dan tidak benarkan individu berstatus ‘merah’ iaitu berisiko tinggi di aplikasi MySejahtera daripada masuk ke premis mereka,” katanya.  

Mengulas kenyataan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad agar kerajaan memperbaiki beberapa SOP berkaitan kemasukan pelancong ke pulau legenda itu termasuk kedudukan penumpang yang rapat ketika berada dalam feri serta penerbangan, Khairy berkata perkara itu akan dibincangkan dalam jawatankuasa pengurusan Covid-19 nanti. -UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya